Pelaksanaan tepat WKB2030 pacu Malaysia ke arah negara maju

Pelaksanaan tepat WKB2030 pacu Malaysia ke arah negara maju

KUALA LUMPUR,. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang menjadi kerangka hala tuju negara bagi tempoh 10 tahun dilihat bakal memacu ekonomi negara sekaligus membantu dalam mencapai status negara maju.

Semua pihak perlu menggembeleng usaha bagi memastikan WKB2030 tercapai menerusi kaedah serta pelaksanaan yang tepat di setiap kementerian dan rakyat juga perlu menyokong hasrat itu demi kebaikan bersama.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, semua kementerian perlu memfokuskan kepada kaedah pelaksanaan yang tepat sejajar keperluan setiap teras wawasan itu.

“Macam-macam dasar kita boleh perkenalkan, tapi yang paling penting dan bukan mudah adalah cara pelaksanaan yang tepat.

“Semua pihak perlu bersama-sama pastikan cara dan mekanisme pelaksanaannya dilakukan dengan betul dan berlandaskan keperluan wawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran WKB2030 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berpendapat semua kementerian kini sudah bersedia menjayakan kerangka hala tuju baharu itu.

“Kaedah untuk laksana wawasan itu penting, malah semua kementerian sudah bersedia untuk menjayakan wawasan ini,” katanya yang berpendapat wawasan itu bukti kerajaan komited untuk mengubah ekonomi dan mutu kehidupan rakyat.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pengisian kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 dalam meletakkan negara sebagai Harimau Asia yang baharu.

“Wawasan itu amat inklusif dan menyeluruh untuk semua rakyat. Kita (negara) bukan sahaja dapat berkongsi kekayaan negara secara bersama malah pada akhirnya Malaysia akan kembali ‘mengaum’ (sebagai Harimau Asia),” katanya.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan WKB2030 yang melibatkan lima sasaran utama di Pahang iaitu ekopelancongan, ekonomi komoditi dan produk hiliran, perlombongan moden, hab pengangkutan dan logistik serta pertanian berteknologi tinggi amat bersesuaian dengan keperluan negeri itu.

Ini khususnya sektor pertanian berteknologi tinggi yang disifatkan beliau sebagai seiring dengan usaha kerajaan negeri yang turut memberi tumpuan ke arah memajukan sektor pertanian, yang merupakan antara sektor paling penting di Pahang.

“Pertanian melibatkan sebahagian besar penduduk negeri ini yang berada di kawasan luar bandar. Kerajaan negeri menyambut baik pelancaran WKB2030 yang antara lain mahu merapatkan jurang kekayaan antara rakyat dan juga wilayah negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Di JOHOR BAHRU, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerangka atau dokumen yang menggariskan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun itu dilihat mampu memacu Malaysia dan negeri Johor khususnya berserta rakyat, ke arah lebih baik di masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan.

“WKB2030 ini diyakini akan memandu ekonomi Malaysia ke arah lebih berdaya tahan dengan potensi sebenar yang ada dioptimumkan, dan pada masa yang sama, setiap agenda yang dilaksanakan memberikan nilai tambah positif kepada taraf hidup masyarakat.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyifatkan WKB 2030 bukan sahaja dilihat menekankan aspek ekonomi tetapi juga aspek integriti seperti pentadbiran dan pengurusan yang cekap.

” Ia dilihat nadi penting untuk merubah ekonomi masyarakat terutamanya Bumiputera, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Agihan Bantuan Persekolahan Peringkat Selangor di sini.

Di SEREMBAN, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, WKB2030 akan merangsang semua pihak termasuk pemimpin, pentadbir dan rakyat untuk berusaha bersungguh-sungguh secara bersama untuk memajukan negara.

“WKB2030 diperlengkapi dengan penilaian status keadaan pencapaian semasa negara. Untuk kita mengorak langkah ke hadapan dalam usaha mencapai matlamat wawasan ini.

“Ia adalah sangat penting kita mengetahui keadaan dan permasalahan semasa, mengenal pasti situasi sehingga di peringkat akar umbi adalah proses diagnosis yang kritikal untuk membolehkan kita mencari kaedah terbaik untuk membina negara yang akan memberi manafaat kepada rakyat,” katanya.

Di MELAKA, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata WBK2030 akan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat menerusi perancangan pembangunan ekonomi yang mampan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Pelancaran WKB2030 menunjukkan satu fasa baharu selepas Wawasan 2020 akan kita capai pada tahun hadapan dan ia merupakan fasa kedua yang akan menentukan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Di IPOH, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, semua perancangan yang termaktub dan digariskan dalam WKB2030 perlu diberi penjelasan secara terperinci kepada semua lapisan rakyat agar ia benar-benar dapat difahami seterusnya dijayakan.

“Keperluan, cadangan dan inisiatif perlu diberi penerangan bagi memastikan semua rakyat berperanan dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi di Bernama.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata WKB2030 perlu direalisasikan mengikut tempoh masa ditetapkan kerana rakyat akan sentiasa melihat kemajuan pelaksanaan dasar itu dalam membawa kejayaan kepada negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata perancangan pembangunan komprehensif perlu diutamakan termasuk melihat keperluan dan kehendak masyarakat di masa depan selain memastikan usaha mengimbangi pembangunan bandar dan luar bandar dapat diwujudkan demi menjamin kualiti hidup rakyat secara keseluruhannya.

Jaujan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang serta Pingat Negeri Sabah bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )