
Pembukaan semula ekonomi lonjak saham sedunia
HONG KONG,. Keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi utama di seluruh dunia terus melonjakkan pasaran saham hari ini, dengan pelabur tidak mempedulikan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang kembali memuncak.
Namun, masih terdapat kebimbangan mengenai tinjauan global yang tidak menentu.
Begitupun, Hong Kong dapat mengehadkan penurunan di sebalik keputusan China untuk menarik status khas yang bakal menyaksikannya kehilangan beberapa hak keistimewaan, sekali gus menjejaskan masa depannya sebagai hab kewangan global.
Tindakan itu adalah serangan terbaharu pertikaian yang semakin bertambah antara dua kuasa ekonomi dunia, dengan isu tuduhan Donald Trump ke atas peranan Beijing dalam penularan COVID-19, Huawei dan perdagangan turut mencetuskan perbalahan.
Di sebalik ancaman satu lagi perang perdagangan, pelabur masih menumpukan kepada pelonggaran perintah berkurung di seluruh dunia, dengan penduduk di Asia hinggalah Eropah dan AS mula keluar daripada hibernasi.
Menambah kepada ‘mood’ memberangsangkan adalah berita bahawa Disney merancang untuk membuka semula taman tema Florida dan keputusan Gabenor Nevada yang bersetuju membenarkan kasino di Las Vegas beroperasi dengan beberapa sekatan.
Trilion dolar rangsangan dan sokongan bank pusat juga memberikan keyakinan yang amat diperlukan oleh pelabur.
Kesatuan Eropah (EU) adalah yang terkini melancarkan program sedemikian.
Pemimpin EU mengemukakan pelan 750 bilion euro (RM3.6 trilion) kepada Parlimen Eropah dan negara anggota, menyasarkan untuk membantu negara yang paling teruk terjejas dengan geran serta pinjaman.
Jika diluluskan, ia akan menjadi pakej rangsangan terbesar dalam sejarah EU.
“Inilah masa untuk Eropah,” kata Ketua Suruhanjaya EU, Ursula Von der Leyen.
“Sama ada kita melaluinya bersendirian, meninggalkan negara, wilayah dan rakyat di belakang… atau kita bersama-sama mengharunginya.”
-AFP