
Pemilik Isuzu D-Max terima lebih banyak ciri keselamatan
KUCHING: Pemandu trak pikap Isuzu D-Max kini berasa lebih selamat dan selesa selepas semua barisan model Double Cabnya sudah dilengkapi ciri kamera undur sebagai standard pemasangan. Menurut satu kenyataan pihak Isuzu semalam, dengan adanya ciri tersebut, maka untuk masuk ke ruang parkir tidak lagi menjadi sukar, terutama ketika membawa beban berat yang sentiasa menjadi kebolehan D-Max.
“Sebelum ini, varian tertinggi seperti X-Terrain dan Premium telah dipasang dengan ciri berkenaan sejak awal pengenalannya.
“Kini versi 1.9-liter Standard juga menerima kelengkapan yang sama untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan lebih jaminan keselamatan dan bantuan ketika masuk ke ruang parkir.
“Sebagai trak pikap yang mempunyai kemampuan menakjubkan, Isuzu D-Max terus menjadi pilihan mereka yang bergantung dengannya untuk tugas harian yang sukar dan mencabar,” kata kenyataannya semalam.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Kenkichi Sogo turut dipetik berkata, dengan menawarkan ciri tersebut sebagai memenuhi keperluan penggunaan, ia bukan hanya melindungi pelaburan mereka, malah turut memastikan kenderaan itu sebagai harapan untuk bergerak dengan selamat.
Isuzu kini merupakan pengeluar pertama di Malaysia yang menyediakan kamera undur sebagai ciri standard untuk semua model Double Cab dalam barisan trak pikapnya.
Kamera undur ini ditempatkan dengan kemas di sisi pemegang ruang barangan belakang dan memaparkan imej yang sangat jelas menerusi skrin sentuh tujuh-inci baharu untuk infotainment dalam model 1.9-liter Standard.
Ia juga siap dengan sambungan Bluetooth, memudahkan capaian terhadap muzik dari telefon pintar.
Sebagai memenuhi keperluan peranti komunikasi peribadi, model 1.9-liter Standard kini juga dilengkapi dengan dua slot USB di depan — Type A dan Type C, setiap satu — untuk memudahkan lagi pengecasan peranti untuk penumpang.
Perbezaan luaran bagi model 1.9-liter Standard ialah pemegang pintu dan ruang barangan belakang dalam warna badan, yang sebelum ini dalam warna perak.
Model 1.9-liter Standard yang dipertingkat ini juga boleh didapati sama ada dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan dengan harga yang hanya sedikit lebih mahal berbanding model sama sebelumnya: naik RM1,500.
Harga jualannya bermula dari RM107,520.30 atas jalan tidak termasuk insurans di Sarawak.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Isuzu D-Max baharu yang mengagumkan ini, layari pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.
-Agensi