Penamaan Calon: Sokongan Hajiji, Abang Johari cerminkan kestabilan kerajaan perpaduan

Penamaan Calon: Sokongan Hajiji, Abang Johari cerminkan kestabilan kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Sokongan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang hadir mengiringi calon gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas mencerminkan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai lengkap dan berwibawa.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed berkata ini kerana sokongan dan penyertaan kedua-dua pemimpin itu dilihat sebagai memberi isyarat bahawa PRN ini sangat signifikan, terutamanya dalam soal pengiktirafan dan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kehadiran mereka mewakili komponen utama yang penting dalam sistem politik (sistem kerajaan berperlembagaan) negara ini. Ini adalah gambaran peringkat makro (kebangsaan) yang menunjukkan jalinan hubungan berkerajaan yang saling memerlukan dan menstabilkan negara.

“Di peringkat negeri mungkin sudut ini tidak dipandang kritikal oleh pengundi namun dari aspek kerajaan, hal ini sangat kritikal dalam menentukan kesejahteraan dan kestabilan Malaysia secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Abang Johari iaitu Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Hajiji sebagai Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon-calon Gabungan PH dan BN bagi kerusi DUN Selangor Sabtu lepas membuktikan sokongan padu kepada calon daripada parti kerajaan yang akan bertanding dalam PRN ini.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata kehadiran kedua-dua pemimpin itu dapat mengelakkan sebarang tohmahan atau permainan kempen politik pihak tertentu terhadap kedudukan GPS dan GRS dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata kehadiran mereka sekurang-kurangnya memberi sokongan moral kepada perjalanan kempen di sini walaupun senario politik di Semenanjung Malaysia berbeza dengan Sabah dan Sarawak.

“Isyaratnya jelas, mereka kekal menyokong kerajaan kepimpinan Anwar dan tidak bersama pembangkang dalam PRN ini.

Bukan itu sahaja, kehadiran Hajiji dan Abang Johari barangkali adalah untuk mengelak wujud persepsi bahawa wujud keadaan tidak menentu atau tidak stabil sedangkan majoriti 148 oleh Anwar penting untuk kestabilan negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Ia melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36)

 

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )