
Penghantar makanan parah selepas dua kali kemalangan
KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan cedera parah selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan lain di Kilometer 29.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar, hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi tadi, mangsa, Muhammad Zulhelmi Zulkefeli, 33, dilaporkan parah selepas melanggar sebuah daripada enam kenderaan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah sebuah lori, sebuah kereta Proton Iswara dan lima motosikal.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori sedang bergerak di lorong paling kiri sebelum dilanggar motosikal mangsa dari arah belakang menyebabkannya dia tercampak di atas jalan pada lorong tengah.
“Selepas kejadian itu, empat motosikal yang berada di lokasi membuat hadangan di di lorong tengah dan kiri sebelum turun untuk memberi pertolongan kepada mangsa.
“Ketika itu, kereta Proton Iswara sedang bergerak di lorong paling kiri melanggar sebuah daripada empat motosikal berkenaan dan hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang terbaring di laluan terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Zulkefly berkata, empat penunggang motosikal, pemandu lori serta pemandu kereta terbabit tidak cedera dalam kejadian itu.
Mangsa yang dilaporkan parah itu pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
CATEGORIES NASIONAL