KUALA LUMPUR,. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries mengikut jadual y
KUALA LUMPUR,. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries mengikut jadual yang ditetapkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata tarikh sebenar ketibaan pesawat berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Mengikut jadual, pesawat itu akan tiba bulan ini atau bulan depan, tarikh (sebenar) ia akan tiba, nanti saya umumkan, setakat ini saya tidak menerima apa-apa maklumat terdapat penangguhan penghantaran pesawat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di sini hari ini.
Turut hadir Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.
Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa Korea Selatan itu memeterai kontrak bernilai hampir RM4 bilion bagi perolehan 18 pesawat tempur ringan FA-50 Block 20, yang dinamakan khusus sebagai FA-50M (Malaysia).
Varian berkenaan jauh lebih canggih dan berkeupayaan tinggi berbanding FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) serta negara lain antaranya Thailand, Filipina dan Indonesia.
Pada Jun lepas, TUDM mengesahkan dua pesawat FA-50M dijadual tiba di Malaysia pada bulan ini manakala bakinya pula akan diterima secara berfasa hingga Mac 2028.
— BERNAMA

