Penilaian Tahap Kesediaan HIS bantu kenal pasti jurang dapatkan pensijilan halal
KUALA LUMPUR,. Penilaian Tahap Kesediaan Sijil Halal (CRA), solusi perniagaan dalam talian yang dibangunkan oleh Aspire Flagship Sdn Bhd di bawah inisiatif Halal International Selangor (HIS) mampu mengenal pasti jurang yang wujud dalam mendapatkan pensijilan halal.
HIS, dalam satu kenyataan hari ini berkata CRA adalah penyelesaian perniagaan yang membolehkan pengguna membuat sendiri penilaian dengan mengakses laman sesawangnya dan mendapat keputusan serta-merta.
“Melalui CRA, pemohon sijil halal Malaysia dapat mengetahui keperluan yang perlu mereka fahami dan lengkapi sebelum memohon sijil halal Malaysia.
“Ini kerana penilaian itu merangkumi keseluruhan rantaian bekalan halal daripada mendapatkan bekalan bahan mentah sehingga penghasilan produk siap,” kata HIS, sambil menambah, ia dapat membantu mengurangkan potensi untuk mendapat ketidakukuran halal.
HIS berkata CRA juga dapat memberi maklumat berdasarkan beberapa parameter yang dinilai seperti pematuhan piawaian halal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, sumber serta penyimpanan bahan mentah.
Selain itu, premis dan peralatan yang diguna pakai serta proses penghasilan seperti pembungkusan, perlabelan, penyimpanan dan Titik Kawalan Halal turut dapat dinilai.
“Selain membantu pemohon pensijilan halal di Malaysia, CRA juga membolehkan organisasi yang memberi bimbingan dalam industri halal mengenal pasti jurang agar solusi yang berkesan dapat diberi keutamaan dalam penyediaan latihan serta nasihat yang berkaitan oleh konsultan halal,” kata HIS.
Tahun lepas, HIS bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Selangor dengan mengadakan program yang disertai usahawan negeri Selangor yang bernaung di bawah agensi berkenaan.
Hasil penilaian CRA, MARA dapat mengenalpasti penambahbaikan yang perlu diambil oleh para usahawan tersebut.
Aspire Flagship adalah anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri halal di negeri berkenaan.
— BERNAMA