
Penjawat awam rugi RM677,565 jadi mangsa ‘phone scam’
KEPALA BATAS,. Seorang penjawat awam kerugian RM677,565 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘phone scam’ atau panggilan penipuan yang mendakwanya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dan dadah, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada mangsa iaitu lelaki berusia 40-an, semalam.
“Menurut mangsa, dia pada mulanya dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak Pos Laju dan memaklumkan bahawa terdapat satu bungkusan yang didaftarkan atas namanya mengandungi barang terlarang iaitu lima kad pelbagai bank.
“Mangsa menafikan perkara itu sebelum individu tersebut menyambungkan panggilan telefon berkenaan kononnya kepada seorang pegawai polis yang bertugas di kontinjen Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ‘pegawai polis’ berkenaan telah memaklumkan bahawa mangsa turut terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.
Mohd Asri berkata seterusnya suspek mengarahkan mangsa memberikan maklumat perbankan dan meminta mangsa memindahkan semua wang dalam akaunnya bagi mengelak dia ditangkap kerana terlibat jenayah.
Katanya bermula 7 Jun lepas hingga 4 Julai, mangsa telah melakukan beberapa transaksi wang ke enam akaun yang diberikan sindiket itu membabitkan jumlah RM677,565.
“Mangsa hanya menyedari ditipu pada Isnin lepas setelah membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati enam akaun bank yang diberikan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan termasuk mengesan pemilik-pemilik akaun yang digunakan oleh sindiket penipuan itu.
Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang diterima mendakwa terlibat jenayah dan membuat pengesahan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan atau menerusi aplikasi Semak Mule supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
–BERNAMA