
Perak terima 2,695 tempahan bilik hotel
BATU GAJAH,. Perak menerima 2,695 tempahan bilik hotel sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), membabitkan 58 pengusaha yang dihubungi secara terus sebaik pembukaan semula pelancongan domestik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu, berkata tempahan bilik hotel berkenaan membabitkan tiga kawasan iaitu Ipoh, Taiping dan Pangkor.
Selain itu, beberapa hotel bajet termasuk rumah inap yang berada di negeri ini juga sudah mula beroperasi dan bersedia menerima tempahan.
“Kita perlu mempertingkatkan lagi jumlah ini untuk menjamin pekerjaan dalam industri pelancongan ini.
“Ia menggalakkan (pertambahan tempahan), tetapi kita perlu segera mempertingkatkan kerana jika tidak kita akan mempunyai masalah bagi pengusaha hotel mengekalkan pekerja dan menjalankan operasi,” katanya selepas melancarkan Travel Baucar #TravelPerakLah Pasca COVID-19 di Kellie’s Castle di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Travel Baucar #TravelPerakLah adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu memulihkan sektor pelancongan negeri.
“Baucer ini terbahagi kepada dua iaitu baucar bernilai RM50 bagi penginapan di hotel terpilih di dalam negeri dan baucar bernilai RM30 bagi produk pelancongan bernilai terpilih di sekitar negeri ini,” katanya.
Baucar istimewa itu adalah terbuka kepada semua pelancong dalam negara dan terhad kepada 1,500 keping sahaja.
“Baucer membabitkan pengusaha hotel dan produk pelancongan terpilih di dalam negeri dan sah digunakan bermula 1 Julai 2020 hingga 30 November,” katanya.
–BH