Perbadanan Putrajaya tarik balik notis penamatan kepada TRC Synergy
KUALA LUMPUR,. Perbadanan Putrajaya (PJC) telah menarik balik notis penamatan kepada TRC Synergy Bhd (TRC) sebagai pemaju bagi projek perumahan mampu milik di Precinct 18, Putrajaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TRC berkata anak syarikat milik penuhnya TRC Land Sdn Bhd semalam menerima penarikan balik notis penamatan tersebut berhubung projek itu, yang mempunyai kos pembangunan kasar RM292.74 juta.
“Oleh itu, PJC dan TRC Land pada dasarnya bersetuju untuk menyambung semula projek tersebut berdasarkan perjanjian pembangunan yang dimeterai sebelumnya oleh kedua belah pihak, tertakluk kepada memuktamadkan syarat-syarat tertentu seperti tarikh penyiapan projek itu,” katanya.
Pada Februari, TRC mengumumkan bahawa PJC telah menamatkan perjanjiannya dengan TRC Land atas dasar kepentingan negara, selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menyatukan pembangunan perumahan mampu milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.”
TRC Land dilantik untuk membangunkan projek Pembangunan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), yang kini dikenali sebagai Pembangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM – DALUR), pada Disember 2015.
Projek itu terdiri daripada 500 unit kediaman PPA1M, 316 unit kediaman awam dan 20 unit komersial.
— BERNAMA