Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 meningkatkan kerjasama antarabangsa –  Noraini Ahmad

HomeFeaturedBusiness

Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 meningkatkan kerjasama antarabangsa – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR,. Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah merasmikan Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 di Royale Ch

Bursa dibuka rendah pada pagi ini
Inisiatif pembiayaan KUSKOP perkukuh akses pembiayaan PMKS – FMM
BELANJAWAN 2027: PERUNTUKAN RM510 BILION TANPA PERKENAL CUKAI BAHARU – AMIR HAMZAH

KUALA LUMPUR,. Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah merasmikan Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-11 2026 di Royale Chulan Kuala Lumpur hari ini, sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh amalan kemampanan, mempercepatkan inovasi serta meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi memastikan sektor perladangan negara kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Persidangan selama tiga hari anjuran The Incorporated Society of Planters (ISP) itu menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, profesional industri perladangan, pemimpin perniagaan serta pemain industri dari Malaysia dan luar negara dengan tema ‘Future Proofing Plantation Agriculture: Innovation, Resilience and Sustainability’.

Dalam ucapannya, Noraini berkata industri perladangan kini sedang melalui perubahan besar didorong oleh kemajuan teknologi, perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik serta perubahan jangkaan pengguna, sekali gus menuntut pemain industri untuk menyesuaikan diri dengan landskap global yang semakin mencabar.

Beliau berkata, walaupun peningkatan hasil, produktiviti dan eksport masih menjadi ukuran penting, pasaran global kini semakin memberi penekanan terhadap pengeluaran mampan, rantaian bekalan yang diyakini, kebolehkesanan produk dari ladang hingga ke pengguna serta pengurangan pelepasan karbon.

“Ini bukan lagi persoalan mengenai masa depan. Inilah realiti yang sedang membentuk pasaran global hari ini. Ia mempengaruhi keputusan pelaburan, menentukan keyakinan pengguna dan semakin menjadi penentu kepada akses pasaran,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan Malaysia sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada peningkatan pengeluaran, sebaliknya perlu dipacu oleh inovasi, kemampanan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat di peringkat global.

“Kami berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai rujukan global dalam bidang pertanian perladangan mampan, iaitu sebuah industri yang dipacu oleh sains, digerakkan oleh inovasi, berpandukan kemampanan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Noraini berkata, kemampanan dan daya saing bukanlah matlamat yang saling bercanggah, malah kedua-duanya saling melengkapi kerana pengeluaran yang bertanggungjawab mampu meningkatkan keyakinan pasaran, manakala inovasi dan teknologi pula memperkukuh produktiviti serta kecekapan industri.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi meningkatkan keyakinan antarabangsa terhadap kredibiliti kemampanan negara, di samping memastikan skim itu kekal praktikal dan inklusif kepada semua pihak berkepentingan termasuk pekebun kecil persendirian.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, teknologi satelit dan analitik lanjutan yang semakin mengubah landskap industri perladangan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi tidak seharusnya menggantikan tenaga kerja, sebaliknya memperkasakan modal insan.

“Inovasi tidak seharusnya menggantikan manusia. Sebaliknya, inovasi perlu memperkasakan mereka kerana nilai sesuatu teknologi bergantung kepada kebijaksanaan manusia menggunakannya,” katanya.

Noraini berkata, Malaysia akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan, memperluas penggunaan teknologi serta membangunkan bakat bagi memastikan sektor perladangan kekal berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.

Beliau turut menggariskan lima komitmen utama negara bagi memacu pembangunan sektor perladangan, iaitu memperkukuh kemampanan, mempercepat inovasi dan pendigitalan, memperkasa pekebun kecil serta komuniti perladangan, meningkatkan penciptaan nilai melalui industri hiliran dan produk berasaskan bio, serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Menurutnya, perkongsian strategik dan perkongsian ilmu antara negara amat penting dalam membina industri perladangan global yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa perbincangan sepanjang persidangan itu akan menghasilkan idea baharu, memperkukuh kerjasama strategik serta melahirkan penyelesaian praktikal yang mampu memberi manfaat kepada komuniti perladangan global.