Pertahan DUN Sikamat, Aminuddin mahu terus bela rakyat

Pertahan DUN Sikamat, Aminuddin mahu terus bela rakyat

SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) — Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kemenangan pada pilihan raya negeri kali ini penting bagi membolehkannya meneruskan usaha meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran di negeri Adat Perpatih itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata beliau tidak boleh memandang ringan tiga pencabarnya, khususnya calon Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan misi mempertahankan kerusi Sikamat yang dimenanginya sejak 2008 pada saingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini berjaya.

“Dalam pertandingan ada risikonya, saya akan terus berkerja untuk memastikan kemenangan, saingan calon kali ini ada kelebihan masing-masing, ada calon yang membuat penampilan kali keempat, saya tidak boleh ambil ringan kesemua saingan kali ini, begitu juga calon PN,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di sini hari ini.

Pencalonan Aminuddin, yang mewakili PH berhadapan Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin diumum oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Saiful Saadon di Pusat Penamaan Calon, Dewan Komuniti Coral Heights.

Pada majlis pengumuman calon PH di Selangor 22 Julai lepas, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan Aminuddin akan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan jika gandingan PH dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bersama penyokong PH dan BN, yang mengiringi Aminuddin bagi mengemukakan kertas pencalonan berkata kerusi Sikamat penting kerana kawasan itu ialah nadi kekuatan PH di Negeri Sembilan.

“Kalau tidak kerana prestasi Aminuddin serta peralihan pengundi Melayu yang menyokongnya di Sikamat, misi untuk menang pada PRU lepas susah. Banyak perubahan di Negeri Sembilan terutamanya pengundi Melayu bandar bermula di Sikamat,” kata Menteri Ekonomi itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Aminuddin menang dengan undi majoriti 3,413 menewaskan Syamsul Amri Ismail (BN), Rahim Yusof daripada PAS dan Bujang Abu, calon Bebas.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )