
Petra dilanda banjir: 2 terbunuh, 1,800 pelancong dipindahkan
PETRA,. Sekurang-kurangnya dua orang disahkan maut selepas banjir kilat melanda bandar purba Petra di Jordan pada Ahad, susulan hujan lebat luar biasa yang turun di kawasan itu.
Dalam masa sama, Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelancongan Wilayah Petra memaklumkan, lebih 1,800 pelancong pula telah dipindahkan dari tapak bersejarah berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka.
Tapak arkeologi yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu ditutup sementara pada sebelah petang susulan kejadian tersebut.
Rakaman video yang dikeluarkan menunjukkan air banjir mengalir deras di beberapa bahagian tapak bersejarah itu termasuk The Treasury, mercu tanda ikonik Petra.
Pihak berkuasa turut memberi amaran agar semua pengunjung mematuhi arahan keselamatan dan terus memantau perubahan cuaca.
–Agensi