
PETRA perluas kerjasama tenaga serantau selaras Deklarasi KL ASEAN 2045 – Fadillah
PUTRAJAYA,. Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyatakan sokongan terhadap Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045, Masa Depan Bersama menerusi peluasan skop kerangka kerjasama serantau dalam bidang tenaga, sebagai langkah penting merealisasikan Rancangan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata PETRA akan terus memperkukuh kerjasama serantau melalui pemuktamadan pelan tindakan dan kerangka strategik yang merupakan sebahagian daripada Hasil Ekonomi Keutamaan (PED), bagi menyokong peralihan tenaga yang adil dan berstruktur.
“Antara usaha penting ke arah mencapai matlamat tersebut termasuk pelaksanaan Rancangan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2026–2030 (APAEC), yang menjadi kerangka utama bagi menggariskan hala tuju jangka panjang dan inisiatif strategik ke arah sistem bekalan tenaga serantau yang berdaya harap, inklusif dan mapan menjelang 2045,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Memorandum Kerjasama Grid Tenaga ASEAN (APG) juga akan dilaksanakan bagi membolehkan integrasi grid dan sambungan tara antara negara anggota ASEAN.
“Ini bakal mempercepatkan integrasi sistem grid serantau bagi memudahkan perdagangan elektrik rentas sempadan, dan menyokong penjanaan dan penggunaan tenaga boleh baharu secara lebih meluas,” katanya.
Fadillah turut menjelaskan bahawa Perjanjian Paip Gas Rentas ASEAN (TAGP) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) akan dijadikan asas kepada kerangka pembekalan bahan api gas asli dan petroleum untuk menyokong peralihan progresif kepada sistem tenaga rendah karbon, termasuk dalam sektor penjanaan elektrik.
“Melalui inisiatif dan program ini, PETRA komited menyokong aspirasi di bawah Deklarasi ASEAN 2045, termasuk usaha peralihan tenaga sebagai landasan strategik ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
“Komitmen ini juga selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan inovasi dalam pembangunan negara, selain memperkukuh kerjasama serantau demi manfaat bersama seluruh komuniti ASEAN,” katanya.
Semalam, para pemimpin Asia Tenggara menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi asas kepada hala tuju pembangunan dan kerjasama serantau bagi dua dekad akan datang.
Deklarasi yang diluluskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 itu turut melambangkan pencapaian penting dalam komitmen blok serantau tersebut untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat.
Menurut deklarasi itu, negara anggota ASEAN menegaskan semula tekad kolektif untuk memperkukuh kesatuan serantau, menggalakkan pembangunan inklusif dan mampan serta mempertingkatkan keupayaan institusi dalam bertindak balas secara berkesan terhadap trend mega semasa dan akan datang.
Dokumen tersebut turut menggambarkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan di rantau Indo-Pasifik, dengan penekanan terhadap perpaduan serantau, identiti bersama, dan akses yang adil kepada peluang ekonomi dalam kalangan penduduknya.
–BERNAMA