Petronas buka pusat teknologi global di dua universiti utama di UK

Petronas buka pusat teknologi global di dua universiti utama di UK

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menubuhkan dua pusat teknologi dan penyelidikan baharu di Imperial College London dan Heriot-Watt University di United Kingdom (UK) untuk menggalakkan kemajuan teknologi yang lebih baik dalam penyelesaian rendah karbon dan tenaga yang lebih bersih.

Pusat teknologi itu — Pusat Kejuruteraan Sistem Pelbagai Fasa Petronas di Imperial dan Pusat Kecemerlangan dalam Kejuruteraan Sub Permukaan dan Peralihan Tenaga Petronas di Institute of GeoEnergy Engineering di Heriot-Watt — masing-masing dibuka pada Khamis di London dan Edinburgh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata kerjasama dengan Imperial dan Heriot-Watt University menggariskan komitmen Petronas dalam meneruskan kemajuan teknologi untuk memberi tumpuan kepada peralihan tenaga secara bertanggungjawab.

“Kami gembira apabila hasrat bersama kami membolehkan Petronas memperhebatkan usahanya dalam teknologi yang memberikan penyelesaian tenaga berteraskan kepada pertimbangan sosial dan alam sekitar yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata syarikat minyak nasional itu berharap dapat merangka fasa baharu dalam teknologi dan inovasi dengan kedua-dua institusi itu untuk menghasilkan tenaga yang mampan pada masa depan sejajar dengan pernyataan matlamatnya.

Beberapa tenaga kerja Petronas telah mendapat ijazah kedoktoran mereka dari kedua-dua universiti itu melalui Program Pembangunan Saintis, bertujuan mematangkan saintis bertaraf dunia syarikat dan membolehkan perkongsian pengetahuan secara produktif yang meningkatkan prestasi operasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )