Petronas peruntuk belanja modal untuk tenaga bersih buat pertama kali

Petronas peruntuk belanja modal untuk tenaga bersih buat pertama kali

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperuntukkan perbelanjaan modal yang lebih tinggi iaitu hampir RM60 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022 (TK2022), yang mana 10 peratus akan dibelanjakan untuk segmen bukan tradisional seperti bahan kimia khusus dan tenaga solar bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO) Liza Mustapha berkata peruntukan 10 peratus itu adalah peruntukan modal sulung syarikat minyak negara itu untuk tenaga bersih.

“Sebelum ini, saya fikir tidak pernah ada rancangan tentang kadar yang sepatutnya (untuk segmen tenaga bersih) kerana tiada peruntukan dari atas, jadi ia tidak begitu berkesan.

“Jadi, kita perlu membincangkannya dari segi keputusan untuk peruntukan modal kita, dan ketepikannya… kerana jika kita biar sahaja dan biarkan ia mengikut arus, maka kita akan ketinggalan setahun (daripada mencapai sasaran) sekali lagi,” katanya pada sesi ‘MIDF Conversations’ secara maya bersama Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Mokhzani semalam.

Mengenai perbelanjaan modal RM60 bilion, Liza berkata ia naik berganda daripada RM30 bilion pada TK2021 disebabkan untuk mengejar dan mengembalikan aktiviti ekonomi.

Beliau berkata perbelanjaan modal itu akan digunakan untuk projek yang sedang berjalan dan baharu, yang separuh daripadanya dibelanjakan untuk projek domestik manakala bakinya untuk projek luar negara.

Mengenai kenaikan harga minyak mentah semasa, Liza berkata Petronas kekal berhemat dari segi meramalkan harga minyak mentah dan akan mengekalkannya pada harga asas US$50-60 setong (US$1=RM4.39) dalam jangka panjang.

“Itu adalah asas bagaimana kami bersetuju dengan projek kami, oleh itu, projek tersebut harus kukuh tanpa mengira ketidaktentuan harga minyak.

“Sekiranya harga naik, seperti yang dijangkakan oleh Goldman Sachs Group, Inc. bahawa harga minyak mentah Brent secara purata melebihi US$140 setong, kita hanya perlu cukup tangkas untuk menggunakan kenaikan itu semasa kenaikan harga masih ada,” katanya.

Sementara itu, Liza bersetuju bahawa ringgit yang semakin lemah berbanding dolar AS, ditambah dengan harga minyak mentah yang tinggi, telah memberikan bonanza berganda untuk gergasi minyak dan gas itu setakat ini.

Melangkah ke hadapan pada TK2022, beliau menjangkakan Petronas terus mencatatkan pertumbuhan tiga angka dalam pendapatan, menjejaki pertumbuhan S1 TK2022 yang menyaksikan keuntungan bersih melonjak 154.15 peratus kepada RM23.44 bilion daripada RM9.22 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, Liza berkata usaha sama 50:50 antara Petronas dan Saudi Aramco telah beroperasi semula, dan kedua-dua syarikat telah bekerjasama rapat, terutamanya ke arah memulakan perniagaan penapisan dan petrokimia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )