
Piala Sudirman: Kemaraan Malaysia di peringkat akhir disekat Korea Selatan
KUALA LUMPUR,. Hasrat skuad badminton negara untuk beraksi kali pertama di pentas final Piala Sudirman tidak kesampaian apabila dikecewakan Korea Selatan 1-3 pada aksi separuh akhir kejohanan yang berlangsung di Suzhou, China hari ini.
Paling menghampakan apabila beregu lelaki utama negara yang menduduki rangking kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diharap dapat menyamakan kedudukan ketika kem badminton negara ketinggalan 1-2, tewas mengejut kepada pasangan Korea, Kim Won Ho-Na Sung Seung 12-21, 11-21.
Suasana di venue pertandingan yang riuh dengan sorakan padu penyokong Malaysia gagal untuk membangkitkan semangat Aaron-Wooi Yik bagi menyumbang kutipan mata untuk kem Malaysia.
Ia sekali gus memberikan kemenangan 3-1 kepada Korea Selatan dan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan hanya membawa pulang pingat gangsa dalam kejohanan yang diadakan sejak 1989.
Pencapaian itu mengulangi rekod pencapaian terbaik yang pernah dicatat sebelum ini apabila skuad badminton negara mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.
Sebelum itu, Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila beregu campuran negara iaitu juara Orleans Masters Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas 21-11, 13-21, 7-21 kepada pasangan nombor lima dunia Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.
Namun pemain perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia kembali memberikan harapan kepada peminat badminton negara apabila menunjukkan aksi cemerlang dengan menundukkan mudah Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-9 dalam perlawanan yang hanya berlangsung 35 minit.
Pemain perseorangan wanita negara K Letshanaa yang diharap dapat membuat kejutan, terpaksa akur dengan kehebatan pemain perseorangan wanita kedua dunia An Se Young 10-21, 13-21.
Meskipun perjuangan skuad negara terhenti di tangan Korea Selatan, Malaysia hakikatnya telah melepasi sasaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang meletakkan negara layak ke separuh akhir.
Kali terakhir skuad negara mengatasi Korea Selatan adalah pada 2015 apabila menang pada peringkat Kumpulan D 3-2, namun tumpas pada peringkat suku akhir dengan pasukan sama 3-1.
Minggu depan skuad negara bakal beraksi di Kejohanan Malaysia Masters 2023.
–BERNAMA