PKP 2. 0 : Kenanga Research puji langkah benarkan kilang automotif beroperasi

PKP 2. 0 : Kenanga Research puji langkah benarkan kilang automotif beroperasi

KUALA LUMPUR,. Kenanga Research memuji tindakan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang memasukkanb aktiviti pengeluaran automotif dalam senarai perkhidmatan sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) bermula 16 Januari lepas.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Kenanga Research di bawah Kenanga Investment Bank Bhd, menyifatkan keputusan itu sebagai positif bagi pembangunan industri automotif yang disokong oleh lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan sehingga 30 Jun, 2021, dalam usaha mengatasi tempahan sedia ada.

Mengikut data jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun penuh 2020 yang diumumkan baru-baru ini, Perodua telah menjual sejumlah 220,154 unit kenderaan manakala Toyota (59,320 unit) dan Proton (109,716 unit) — kesemuanya melebihi sasaran jualan awal masing-masing.

“Sehubungan itu, kami berpendapat peningkatan sasaran TIV lebih tinggi sehingga mencecah 515,000 unit daripada 500,000 unit sebelum ini. Kami turut turut menjangkakan pemulihan lebih kukuh pada 2021 dengan sasaran TIV sebanyak 585,000 unit (+14 peratus tahun ke tahun),” kata Kenanga Research yang turut mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap industri itu.

Pengeluaran kenderaan dan pembuatan komponen telah dimasukkan dalam arahan awal PKP 2.0 yang dikeluarkan pada 12 Jan lepas.

Namun, dokumen yang dikemas kini dalam tempoh kurang 24 jam selepasnya dengan nota khusus menyatakan bahawa aktiviti pemasangan automotif dan pembuatan automotif tidak lagi disenaraikan.

Bagaimanapun, MITI kemudiannya bertindak membenarkan kesemua kilang automotif untuk beroperasi dengan memasukkannya dalam senarai khidmat perlu dalam PKP 2.0 tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )