PKP bantu bendung penularan COVID-19 ke tahap sedikit stabil – KP Kesihatan

PKP bantu bendung penularan COVID-19 ke tahap sedikit stabil – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 10 April — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas berjaya membendung penularan pandemik COVID-19 di negara ini kepada satu tahap yang sedikit stabil, kata Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan berterusan.

Justeru, katanya, keputusan kerajaan melanjutkan lagi tempoh PKP kepada dua minggu (15-28 April) adalah tepat selain memberi ruang kepada negara memerangi penularan COVID-19 sebelum dapat menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan wabak.

“Ia (PKP) perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

“Ini adalah wajar (pelanjutan PKP), sepertimana yang disebut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 25 Mac, iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi (15-28 April) atau fasa ketiga untuk membendung penularan wabak itu di negara ini.

PKP fasa pertama bermula 18 hingga 31 Mac lepas, kemudian dilanjutkan ke fasa kedua bermula 1 April hingga 14 April ini.

Mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam,Johor, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,634 sampel ujian saringan COVID-19 telah dilakukan di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Katanya,daripada jumlah itu, 138 kes didapati positif COVID-19 iaitu 79 kes positif dikesan sebelum PKPD manakala 59 kes lagi dikesan selepas PKPD dikuatkuasakan.

“Terdapat tiga kes kematian COVID-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1114, kes ke-1251, dan kes ke-2627.

“Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang dikenal pasti sebagai zon penampan (buffer zone) meliputi Kampung Dato Ibrahim Majid, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Salleh dan Taman Seri Bayu dengan anggaran penduduk seramai 1,800 orang,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pengesanan kes secara aktif (ACD) dilaksanakan terhadap kira-kira 1,500 orang dengan 359 daripada mereka menjalani saringan sampel berdasarkan penilaian risiko.

Katanya, bagi saringan sampel berdasarkan penilaian risiko, sebanyak 13 kes didapati positif, 88 kes negatif dan 258 kes dalam proses ujian makmal.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )