
PM Mohon Perhimpunan 1,000 Pesawah di Putrajaya Ditunda
26 Januari 2025, / KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon agar perhimpunan yang dirancang oleh 1,000 pesawah di Putrajaya pada hari Isnin ditangguhkan ke tarikh lain. Permintaan ini dibuat susulan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang akan berlangsung pada hari sama.
“Esok (Isnin) ada cadangan daripada beberapa pesawah dari utara untuk hadir ke Putrajaya. Namun, kita menerima tamu negara, Presiden Prabowo, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta saya sendiri,” kata Anwar dalam kenyataan beliau.
Menurut beliau, perhimpunan tersebut boleh diteruskan tetapi pada waktu yang lebih sesuai. “Saya tidak menghalang pertemuan untuk menyerahkan tuntutan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun saya tidak setuju jika perhimpunan ini mengganggu kelancaran lawatan rasmi negara,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan supaya semua pihak menghormati protokol lawatan negara dan meminta Ketua Polis Negara memastikan situasi terkawal. “Jika boleh, elakkan perhimpunan pada hari esok,” tambahnya.
Dalam sidang media selepas syarahan bertajuk Islam: The Covenants Fulfilled oleh Syed Muhammad Naquib pada Ahad malam, Anwar menyatakan kesediaan untuk memastikan suara pesawah didengar.
“Jika ada isu atau tuntutan yang ingin disampaikan, saya akan berbincang dengan Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menerima memorandum tersebut dan mengambil tindakan yang sesuai,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, juga telah menyeru agar perhimpunan dan penyerahan memorandum melibatkan pesawah itu ditunda demi memberi laluan kepada lawatan Presiden Prabowo.