
Polis tahan tiga lelaki, rampas rokok seludup bernilai RM1.1 juta
LUMUT,. Polis menahan tiga lelaki dan merampas 24,790 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.1 juta di tepi jalan Kampung Bharu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 29 hingga 56 tahun itu masing-masing ditahan ketika memandu dua lori dan sebuah kereta Perodua Kancil dipercayai dari arah Segari ke Manjung, kira-kira 12.30 tengah malam hasil risikan pihaknya selama dua minggu.
“Pemeriksaan ke atas dua lori dipandu lelaki berusia 30 dan 56 tahun itu menemukan 377 kotak mengandungi 24,790 karton rokok manakala pemandu kereta berusia 29 tahun didapati bertindak sebagai penjaga laluan bagi memastikan tiada pihak berkuasa atau sekatan jalan raya dilakukan sepanjang jalan dilalui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai lebih RM5,000 dan lima telefon bimbit dipercayai digunakan untuk berkomunikasi dengan sindiket dengan keseluruhan barang rampasan termasuk rokok dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta.
Nor Omar berkata hasil siasatan awal, kesemua mereka mendakwa menerima upah keseluruhan RM5,000 bagi satu trip menghantar rokok ke destinasi ditetapkan.
“Semakan mendapati dua lori itu didaftarkan atas nama syarikat masing-masing di Batu Caves dan Petaling Jaya, Selangor dan kita akan melakukan siasatan menyeluruh,” katanya dengan menambah siasatan turut dilakukan sama ada ketiga-tiga lelaki itu hanya sekadar penghantar rokok atau terbabit sindiket penyeludupan.
Beliau berkata rampasan berkenaan merupakan terbesar membabitkan rokok dalam tempoh tiga tahun dan semakan lanjut mendapati kedua-dua pemandu lori itu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Ketiga-tiga mereka direman tujuh hari hingga 11 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, Nor Omar berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Kedutaan Indonesia untuk mengesan waris empat mayat yang ditemukan terapung tanpa sebarang identiti di perairan Pulau Jarak, Pulau Pangkor, di sini, 30 Disember lepas.
Beliau berkata keempat-empat mayat ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Seri Manjung dan pihaknya percaya kesemuanya bukan warganegara berikutan tiada suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG) pada mereka.
“Kita tahu ada insiden bot karam yang dilaporkan di Sekinchan, Selangor jadi kita tidak menolak jika (empat mayat adalah mangsa insiden itu) tetapi kita belum ada kepastian mengenainya.
“Justeru, kita akan berhubung dengan Interpol dan kedutaan untuk bantu mengesan waris serta masih (perlu) menunggu pengesahan daripada pihak kedutaan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan empat mayat itu ditemukan terapung di perairan Pulau Jarak, Pulau Pangkor dan polis juga mengesahkan kematian mangsa tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata keempat-empat mayat dipercayai warganegara Indonesia.
— BERNAMA