
Polis tumpas geng ‘Bobot’, lima suspek ditahan
KUALA LUMPUR,. Polis menahan lima lelaki ahli kumpulan Geng Bobot selepas terbabit dalam kejadian rompakan bersenjata yang menyasarkan warga asing di sebuah rumah kedai berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata anggota kumpulan samun itu terdiri daripada warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun ditahan di sekitar Sentul pada hari kejadian selepas menerima laporan pada jam 9 malam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lima lelaki telah melarikan sejumlah wang dan beberapa telefon bimbit milik dua lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga Myanmar.
“Kesemua suspek menaiki tiga motosikal berasingan dan bersenjatakan parang serta pistol. Wang tunai yang disamun adalah hasil penjualan ikan sejuk beku dan sayuran serta wang simpanan mangsa.
“Semasa kejadian, seorang lelaki warga Bangladesh cedera di kepala kerana ditetak menggunakan parang oleh suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
Selain menangkap suspek, polis turut merampas barang kes termasuk wang tunai RM51,362, tujuh telefon milik mangsa, dua pucuk pistol airsoft, tiga buah motosikal serta beberapa pakaian dipercayai digunakan suspek semasa menyamun.
Katanya, polis turut menahan kesemua mangsa kejadian kerana disyaki memberi keterangan bercanggah mengenai jumlah wang disamun iaitu RM105,000 seperti didakwa manakala hasil siasatan mendapati jumlah wang dirampas dari suspek ialah lebih kurang RM11,000 dan polis juga menemukan RM40,000 di rumah mangsa.
Beliau berkata siasatan mendapati empat daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua suspek direman selama enam hari hingga 21 Julai bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
— BERNAMA