
Politeknik Mersing wujudkan EFMS, rekod fail lebih sistematik
MERSING,. Politeknik Mersing (PMJ) telah mewujudkan satu sistem pengurusan fail di pejabat yang dikenali sebagai ‘Electronic Filing Monitoring System’ atau eFMs yang lebih sistematik, efisien dan mesra pengguna.
Ketua penyelidik dan pensyarah kanan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi PMJ Suhana Ismail berkata sistem ini bertujuan untuk memudahkan urusan merekod pergerakan fail dalam unit pentadbiran di sesebuah organisasi.
Beliau berkata inisiatif itu diambil bagi memudahkan proses peminjaman dan pemantauan dilakukan selain pengguna dapat membuat semakan bagi mengetahui status semasa sesuatu fail dengan lebih pantas dan cekap.
“Sistem ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan laman web yang mana akan melindungi sistem dari sebarang serangan penggodam,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata sistem yang mula dibangunkan pada Jun 2018 dan menerima pengiktirafan dalam pertandingan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa itu berjaya menarik perhatian beberapa agensi lain untuk menggunakannya.
Menurutnya salah sebuah agensi luar yang menggunakan sistem eFMs adalah Pusat Koreksional Jasin, Melaka yang antara lain membantu institusi berkenaan mendapat pengiktirafan cemerlang dalam audit EKSA pada 2018 dan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Anugerah Kualiti (Pengurusan Fail dan MyPortfolio) 2019, Jabatan Penjara Malaysia.
“Awal tahun ini, kami sekali lagi diberi kepercayaan oleh pihak terbabit untuk membuat penambahbaikan serta menaik taraf sistem yang dibangunkan pada tahun 2018 dengan beberapa elemen dan fungsi tambahan. Sehingga kini, sistem eFMs ini telah memenangi empat pingat emas dan dua pingat perak dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Antara pertandingan yang disertai termasuk 2020 Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (Majlis Penyelidikan Negara Thailand), dan 2nd Digitalised International Invention, Innovation and Design Johor 2019 (UiTM Johor).
“Sistem ini turut dinobatkan sebagai johan kategori pensyarah dalam pertandingan National Startup Bootcamp and Competition 2019,” katanya.
Suhana berkata selain itu, dua kertas kajian telah dihasilkan dan diterbitkan dalam Persidangan Pendidikan Teknikal dan Vokasional dalam Pendidikan dan Latihan 2019 serta Simposium Kongres Persatuan Akademik Malaysia Antarabangsa 2019.
— BERNAMA