BUKIT MERTAJAM,. Sebanyak 222 Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) akan mula beroperasi di pusat NADI terpilih di seluruh negara mulai hari
BUKIT MERTAJAM,. Sebanyak 222 Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) akan mula beroperasi di pusat NADI terpilih di seluruh negara mulai hari ini, membawa khidmat sokongan keusahawanan lebih dekat kepada rakyat di setiap kawasan Parlimen.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kesemua pusat berkenaan akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan dibuka kepada usahawan serta orang ramai, yang digalakkan untuk datang terus ke pusat berkenaan.
Menurutnya, menerusi PRIME, pengunjung boleh mendapatkan maklumat, konsultasi perniagaan serta akses dan rujukan kepada program pembiayaan, latihan dan perkhidmatan yang disediakan agensi kerajaan berkaitan.
“Melalui PRIME, usahawan boleh datang dan memaklumkan keperluan atau masalah perniagaan mereka. Pegawai PRIME akan memberikan panduan awal dan, sekiranya perlu, merujuk mereka kepada program atau agensi yang paling sesuai, sama ada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian lain atau agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) 2026 dan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun INSKEN di pusat NADI Machang Bubok, di sini, hari ini.
PRIME merupakan inisiatif yang diterajui Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menerusi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi menjadikan pusat NADI sebagai pusat sehenti rujukan keusahawanan di peringkat komuniti.
MCMC menyediakan rangkaian dan fasiliti NADI di seluruh negara, manakala INSKEN menyumbang kepakaran dalam pembangunan keusahawanan selain menyediakan latihan kepada pegawai NADI yang akan menjadi petugas barisan hadapan PRIME.
Steven berkata, inisiatif itu membolehkan usahawan mendapatkan bantuan tanpa perlu memahami terlebih dahulu struktur kerajaan atau mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab terhadap sesuatu program.
Pelancaran PRIME tahun ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan INSKEN. Sepanjang tempoh dua dekad, INSKEN telah melatih dan membimbing lebih 159,000 usahawan menerusi lebih 4,000 program latihan dan bimbingan di seluruh negara.
Pada tahun ini, INSKEN turut mencatat pencapaian di peringkat antarabangsa apabila menerima dua anugerah pada GovMedia Conference & Awards 2026 di Singapura.
Anugerah berkenaan ialah Malaysia Digital Initiative of the Year – Training menerusi INSKEN Mini Coaching Marketing 2025 dan Malaysia Training Programme of the Year – Training menerusi INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC).
Pada majlis sama, Steven turut melancarkan buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun INSKEN yang mendokumentasikan sejarah penubuhan, perkembangan peranan, pencapaian program serta sumbangan INSKEN terhadap pembangunan ekosistem keusahawanan negara sepanjang dua dekad.
Beliau berkata, fasa seterusnya perlu memberi tumpuan kepada usaha membawa kepakaran dan sokongan keusahawanan lebih dekat kepada rakyat supaya lebih ramai usahawan dapat memulakan, mengekalkan serta mengembangkan perniagaan mereka.
“Dua puluh tahun yang lalu adalah sejarah yang kita hargai, tetapi dua puluh tahun akan datang adalah masa depan yang perlu kita bina.
“PRIME adalah sebahagian daripada langkah seterusnya, iaitu membawa kepakaran dan sokongan keusahawanan lebih dekat kepada rakyat supaya lebih ramai usahawan bukan sahaja mampu memulakan perniagaan, tetapi juga bertahan, berkembang dan menjadi lebih berdaya saing,” katanya.
INSKEN merupakan agensi di bawah naungan KUSKOP yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan.
— Gerbangpost

