
PRN: Khidmat cemerlang wajarkan DUN Sungai Air Tawar kekal milik BN
SABAK BERNAM, 1 Ogos (Bernama) — Kepimpinan dan perkhidmatan cemerlang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail, membuat penduduk setempat merasakan beliau taruhan terbaik demi kesinambungan pembaharuan dan pembangunan untuk DUN tersebut.
Rata-rata penduduk dan pengundi kawasan DUN itu yang ditemui Bernama percaya anak jati Sungai Air Tawar dan calon Barisan Nasional (BN) itu mampu memenangi semula kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Bagi Jaafar Adnan, 72, Rizam cukup dikenali penduduk Sungai Air Tawar dan khidmat cemerlang yang diberikannya sepanjang bergelar wakil rakyat diakui penduduk kawasan ini.
“Dia elok dikekalkan, lagi pun dia orang sini… orang tua-tua di sini kenal sangat dia, dia jaga kami dengan baik.
“Saya percaya orang tua-tua di sini akan kekal menyokong BN. Dari dulu mereka jaga kita, wakil rakyat sebelum Rizam juga bagus, semua lapisan umur mereka tolong,” katanya ketika ditemui di Pekan Parit Baru di sini.
Ahli perniagaan, Kee Yoke Yew, 33, pula berkata selagi wakil rakyat itu bekerja dan membawa pembangunan kepada kawasan yang diwakili, beliau wajar mendapat sokongan daripada masyarakat.
Beliau yang membesar di pekan itu berkata akan tetap pulang mengundi 12 Ogos ini bagi mengekalkan Rizam sebagai ADUN Sungai Air Tawar biar pun kini menetap di Subang Jaya.
“Dalam 10 tahun ini, saya lihat banyak pembangunan berlaku di Sungai Air Tawar terutamanya dari segi infrastruktur dan kawasan nelayan. Atas sebab ini, penyandang kerusi DUN ini boleh kita kekalkan,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam Hanafi Ahmad Mufid, 35, berkata selain personaliti Rizam yang diterima baik penduduk, beliau percaya kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk gabungan dalam PRN kali ini mampu membawa impak ekonomi dan perubahan lebih besar ke kawasan itu.
“Sebagai anak muda, tentunya kami mahu orang muda menjadi wakil kami di sini dan Datuk Rizam sebagai anak tempatan sememangnya seorang yang kuat bekerja untuk kemajuan generasi muda serta kawasan ini secara keseluruhan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Rizam memenangi kerusi DUN itu selepas mengalahkan calon PAS dan Bersatu dengan memperoleh majoriti 1,440 undi.
Pada PRN kali ini, Rizam akan ditentang Mohamad Zaidi Selamat dari Perikatan Nasional.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
— BERNAMA