PRN MELAKA: 189 BORANG PENAMAAN CALON DIBELI, 45 CALON BAYAR DEPOSIT

HomeFeaturedPolitik

PRN MELAKA: 189 BORANG PENAMAAN CALON DIBELI, 45 CALON BAYAR DEPOSIT

MELAKA, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 189 borang penamaan calon sudah dibeli bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat malam tadi, dengan 45 bakal

TARIKH BUBAR DUN MELAKA BELUM DITETAPKAN – AB RAUF
Kemelut politik Negeri Sembilan tidak beri kesan kepada BN hadapi PRN Melaka – Mohamad Hasan
PRN Melaka ke-16 bermula esok dengan penamaan calon, 28 kerusi jadi rebutan

MELAKA, 30 Okt (Bernama) — Sebanyak 189 borang penamaan calon sudah dibeli bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat malam tadi, dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata bagi proses penamaan calon esok, sebanyak 28 pusat penamaan calon akan dibuka serentak di seluruh negeri bermula 9 pagi hingga 10 pagi.

“Bagi kelancaran proses, SPR menyeru semua bakal calon supaya hadir lebih awal bagi membolehkan petugas SPR membuat semakan dokumen dengan teliti sekali gus mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam pilihan raya berkenaan.

“Kita (SPR) tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding atau sebagainya. Kita cuba elakkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau simulasi penamaan calon di Dewan Ballroom, Stadium Hang Jebat, Paya Rumput di sini hari ini.

Ramlan berkata semua pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan petugas di kesemua 28 pusat penamaan calon telah diberikan latihan secukupnya bersedia sepenuhnya melaksanakan tugas.

Beliau berkata kesemua 28 RO itu akan dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta pegawai lain bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

“Melihat simulasi yang diadakan di Paya Rumput, saya percaya proses penamaan calon esok akan dapat dilaksanakan dengan baik, termasuk oleh RO yang pertama kali dilantik untuk mengendalikan urusan penamaan calon,” katanya.

Ramlan turut mengingatkan penyokong parti-parti bertanding yang hadir esok supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan peraturan ditetapkan bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana aman serta tertib.

“Orang ramai juga diminta mengambil maklum kemungkinan penutupan jalan di sekitar pusat penamaan calon bagi melancarkan pergerakan dan mengelakkan kesesakan pada hari berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlan berkata berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca esok dijangka baik dan berharap proses penamaan calon dapat berlangsung tanpa sebarang gangguan.

SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.

— BERNAMA