PRN: MUDA umum 4 calon tanding di Selangor

PRN: MUDA umum 4 calon tanding di Selangor

PETALING JAYA, 13 Julai (Bernama) — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) hari ini mengumumkan empat calon mereka yang akan bertanding di Selangor pada pentas Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Calon yang ditampilkan ialah Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Seri Serdang, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen di Batu Tiga (N41), Thanusha A/P Ramanieswaran di Sentosa (N48) dan Melanie Ting Yi-Hlin di Bukit Antarabangsa (N19).

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kesemua calon yang diumumkan MUDA pada pusingan pertama itu telah menjalani proses tapisan ketat bagi memastikan calon yang dipilih berkualiti dan mampu membawa serta memperjuangkan suara rakyat.

“Kami yakin jika calon-calon kita diberi mandat, kita akan mainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan serta sebagai suara kesedaran kepada rakyat,” katanya pada sidang media khas di Bilik Gerakan MUDA dekat sini, hari ini.

Barisan calon MUDA bagi pusingan kedua akan diumumkan pada Isnin ini.

— BERNAMA

 

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )