PRU, PRN disekalikan praktikal, beri impak positif kepada peratusan keluar mengundi – Pakar

PRU, PRN disekalikan praktikal, beri impak positif kepada peratusan keluar mengundi – Pakar

KUALA LUMPUR,. Cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan secara bersekali dilihat sebagai praktikal kerana berupaya memberi impak positif terhadap peratusan keluar mengundi.

Penganalisis politik Profesor Datuk Nasrudin Mohammed berkata ini kerana pelaksanaan PRN dan PRU secara serentak akan melibatkan seluruh negara dan dapat mempengaruhi psikologi kelompok sekali gus mencetuskan minat, perhatian dan semangat di luar kebiasaan.

“Ini cadangan yang baik kerana mengambil kira semua pertimbangan antaranya penjimatan kos dan masa. Namun ia melibatkan perancangan dan pentadbiran yang sangat kompleks terutama di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pelaksanaan PRN dan PRU bersekali tidak mustahil namun memerlukan penelitian yang mendalam dan mengambil kira banyak elemen sama ada di pihak kerajaan, parti politik mahupun pengundi,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata PRN dan PRU akan datang perlu disekalikan kerana ia lebih memudahkan manakala rakyat juga tidak perlu mengeluarkan belanja beberapa kali pulang ke kampung untuk mengundi.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi pada PRN Sabtu lepas menunjukkan penurunan hampir di setiap saluran yang antaranya mungkin disebabkan faktor kesukaran pelepasan cuti daripada majikan untuk mengundi.

Berdasarkan data SPR semalam, Terengganu mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi pada PRN kali ini iaitu sebanyak 74.79 peratus diikuti Kedah 73.86 peratus, Pulau Pinang (72.67), Selangor (72), Negeri Sembilan (68.35) dan Kelantan (60.96).

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi itu, Nasrudin berkata trend sentimen pengundi pada PRN kali ini berbeza dengan PRU lepas terutama melibatkan faktor lokaliti, isu tempatan, kos dan masa yang tidak sesuai untuk pengundi pulang ke daerah mengundi.

Bagaimanapun, beliau berkata pengundi Pantai Timur, khususnya Terengganu, terkecuali dengan faktor itu kerana orientasi mereka terhadap penyertaan politik melalui pilihan raya agak fokus dan komitmen yang diberikan mereka adalah sangat padu.

“Pengundi Kelantan pula meyakini bahawa kepimpinan ulama, melalui PAS, hampir-hampir mustahil boleh ditumbangkan, apatah lagi apabila isu DAP yang dikatakan menguasai keputusan politik kerajaan semasa dimain-mainkan melalui media sosial secara berterusan.

“Peratusan bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan memperlihatkan kecondongan pengundi kepada isu-isu yang berlegar di lokaliti serta menggambarkan juga tahap keyakinan pengundi terhadap jangkaan keputusan pilihan raya,” katanya.

Bagi penganalisis politik G. Manimaran, cadangan agar PRN dan PRU disekalikan pada masa depan harus dipertimbang kerana berdasarkan pemerhatian beliau, masih ramai yang keliru mengenai kewajaran mengundi secara berasingan.

“Ada yang menganggap sebelum ini sudah ada pilihan raya untuk Parlimen (PRU), mengapa sekarang sekarang masih perlu mengundi sekali lagi (PRN). Mereka tidak nampak perbezaannya, khususnya anak muda, sebab mereka kurang didedahkan tentang proses pilihan raya dan kepentingan undi dalam pembentukan kerajaan.

“Kerana itu saya berpendapat perlunya juga ada literasi pilihan raya agar masyarakat memahami bahawa proses pilihan raya ini sebenarnya sama penting dengan tanggungjawab kita mengisi borang e-Filing cukai pendapatan yang wajib diisi dan diisytihar,” katanya.

Pada masa sama, penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang itu berharap SPR dapat menyediakan kemudahan yang sesuai bagi memudahcarakan orang ramai menunaikan hak mereka pada masa depan.

Beliau berkata ini termasuk mewujudkan pusat undi berpusat di negeri yang tiada pilihan raya bagi memastikan mereka yang berada di luar negeri masih dapat melaksanakan tangunggjawab masing-masing walaupun tidak dapat pulang ke negeri asal disebabkan kekangan masa, tuntutan pekerjaan dan kos.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)