
PRN Selangor: Suee Lim tanding DUN Sekinchan
SABAK BERNAM: DAP mengumumkan Ng Suee Lim sebagai calon mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, dalam ceramahnya pada Jamuan Makan DAP Sekinchan malam tadi yang mengumumkan calon tersebut sekaligus menyatakan prestasi Naib Pengerusi DAP Selangor itu menyebabkan beliau dicalonkan sekali lagi mewakili PH.
“Selama pengalaman saya di Selangor, kali pertama bertanding amat sukar kerana DAP dalam keadaan paling lemah, sehingga pada ketika itu tak ada orang sanggup jadi calon sebab DAP lemah, BN-MCA terlalu kuat pada ketika itu, bertanding dan saya kalah.
“Tetapi saya tak lari, saya balik ke Sekinchan dan saya buat kerja, pada 2004 saya bertanding lagi, akhirnya diberi mandat oleh rakyat di sana saya menang dengan 344 undi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, malam tadi.
Anthony Loke dalam ucapannya turut memaklumkan Suee Lim juga akan dicadangkan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) (Exco) berdasarkan kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang menjadi ADUN.