
PROGRAM SENTUHAN KASIH MDEC ; Santuni Komuniti Orang Asli, Sokong Pembangunan Lebih Inklusif – Gobin
PETALING JAYA,. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD) hari ini, telah melaksanakan Program Sentuhan Kasih, sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk membantu komuniti Orang Asli di Bukit Lanjan.
Program ini memfokuskan kepada pengagihan pek barangan makanan kepada 50 keluarga Orang Asli, yang disampaikan YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, bagi meringankan beban kehidupan golongan sasar.
Kehadiran YB Gobind membuktikan sokongan penuh kementerian terhadap usaha kebajikan, sekaligus memperkukuh komitmen dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat, khususnya untuk golongan terpinggir seperti komuniti Orang Asli.
Program Sentuhan Kasih ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan pek bantuan makanan asas, tetapi ia juga sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara kerajaan, sektor korporat, dan masyarakat Orang Asli.
Antara sumbangan yang diberikan termasuk beras, tepung, gula, minyak dan lain-lain, Inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama rakan strategik program, Mamee-Double Decker Distribution (M) Sdn Bhd, dan bertujuan untuk membawa perubahan positif kepada golongan yang memerlukan serta menyokong pembangunan komuniti yang lebih inklusif.
–GERBANGPOST