
PRU15: Calon wanita ‘underdog’ tekad beri tentangan sengit
Oleh Lucia Terey Anak John dan Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) — Meskipun berstatus ‘underdog’, calon wanita di kerusi Parlimen Ampang dan Setiawangsa di sini yakin mempunyai kelebihan untuk memberikan tentangan sengit terhadap nama besar yang menjadi saingan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Ampang, Ivone Low Yi Wen berkata sebagai anak jati kawasan tersebut, beliau memahami keperluan penduduk yang berdepan pelbagai masalah dan atas dasar itu, beliau ingin membawa beberapa perubahan sekiranya diberi mandat.
Antaranya membangunkan semula kawasan Ampang sebagai pusat tumpuan pelancong, mengatasi banjir kilat, memperkasakan wanita dan golongan muda melalui program keusahawanan dari rumah bagi meningkatkan taraf ekonomi, serta menubuhkan Skuad Khidmat Penyelenggaraan untuk rumah pangsa.
Mengambil pengalaman sebagai Penasihat Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA), Low juga berikrar akan memberikan tuisyen sekolah kepada pelajar B40 dan khidmat guaman percuma kepada golongan yang memerlukan daripada keluarga B40 dan wanita yang berdepan dengan kes keganasan rumah tangga.
“Saya mengibaratkan diri sebagai kain putih kerana bersih dan ada keikhlasan untuk bekerja keras memandangkan masih muda. Kebolehan bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina memberikan kelebihan kepada saya untuk berinteraksi dengan penduduk,” kata Ketua Penerangan dan Beliawanis Wanita MCA itu kepada Bernama.
Pada PRU15 19 Nov ini, Low berdepan saingan sembilan penjuru termasuk penyandangnya Datuk Zuraida Kamaruddin yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM), Rodziah Ismail calon Pakatan Harapan (PH), Sasha Lyna Abdul Latif mewakili Perikatan Nasional (PN), Nurul Ashikin Mabahwi dari Gerakan Tanah Air (GTA) dan Lai Wai Chong (Warisan), selain tiga calon Bebas Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, M. Raveendran dan Tan Hua Meng.
Bagi calon GTA yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Setiawangsa, Bibi Sunita Sakandar Khan, rekod penglibatannya sebagai aktivis masyarakat selama 22 tahun di kawasan tersebut menyebabkan penduduk selesa menemuinya untuk menyuarakan permasalahan.
“Saya kerap menyantuni golongan memerlukan seperti wanita B40 dan ibu tunggal dengan pelbagai bantuan menerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) yang saya sertai, bermakna saya telah bekerja keras sejak lama bukan kerana bertanding sebagai calon PRU sahaja,” katanya.
Berdepan saingan enam penjuru termasuk penyandang kerusi Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Wanita GTA Wilayah Persekutuan itu juga bertekad melipatgandakan perkhidmatannya kepada penduduk sekiranya dipilih berikutan telah mempunyai misi ‘Updiri Setiawangsa’ yang antara lain menumpukan penyelesaian masalah perumahan setempat.
Terdahulu pemerhatian Bernama mendapati, Low dan Bibi Sunita tidak kekok mendekati rakyat ketika berkempen sama seperti calon yang berpengalaman lain malah masyarakat juga menerima baik kehadiran mereka.
Tatkala kedua-dua calon itu berusaha membuktikan status ‘underdog’ bukan halangan dalam meraih sokongan pengundi, calon PN di Parlimen Wangsa Maju Nuridah Mohd Salleh pula turun sebagai ‘otai’ politik, nampun enggan berasa selesa dengan kedudukannya kerana menyifatkan calon lain turut ‘istimewa.’
“Apa yang membezakan ialah visi kami (PN) untuk rakyat termasuk menggembleng usaha menambah bilangan penyertaan wanita dalam arena politik.
“Tidak rugi untuk wanita terlibat sama kerana mereka sangat peka dengan masalah masyarakat dan dalam mana-mana parti pun, dapat dilihat wanita bekerja keras,” katanya yang pernah bertanding di Parlimen Rompin pada PRU13, Parlimen Sungai Buloh (PRU14) selain di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan pada PRU12, namun tewas kesemuanya.
Nuridah bakal ditentang lima lagi calon lain iaitu Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah (BN), Wee Choo Keong (Warisan), Norzaila Arifin (Pejuang), Raveentheran Suntheralingam (Bebas) dan Zahir Hassan (PH) yang menggantikan penyandang kerusi berkenaan Datin Dr Tan Yee Kew.
Sementara itu, pengusaha van sekolah Iswadi Muhamad, 43, berkata tidak kisah golongan wanita bertanding di kerusi Wangsa Maju asalkan mempunyai rancangan penambahbaikan terhadap sektor pendidikan dan infrastruktur seperti sistem perparitan demi meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk.
“Bantuan jangka pendek seperti keperluan asas memang perlu tetapi pendekatan jangka panjang lebih mustahak, antaranya membesarkan longkang agar kejadian banjir kilat dapat diminimumkan selain penambahan peruntukan kewangan untuk menyelenggara bangunan sekolah,” katanya.
— BERNAMA