Public Bank komited perangi jenayah kewangan

Public Bank komited perangi jenayah kewangan

KUALA LUMPUR,. Public Bank Bhd, antara bank yang dikaitkan dalam dokumen yang dibocorkan oleh Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Perbendaharaan Amerika Syarikat (FinCEN) akan terus komited memerangi jenayah kewangan.

Malah, menurut bank itu, ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengekalkan integriti sistem kewangan.

“Public Bank memandang serius mengenai perlunya memerangi jenayah kewangan dan mematuhi semua keperluan undang-undang, pengawalseliaan dan peraturan yang diterima pakai bagi melindungi ancaman terhadap pelanggan dan sistem perbankan.

“Kami sentiasa menerima pakai pendekatan sifar tolerasi terhadap pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan,” kata bank itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi merujuk laporan berita baru-baru ini mengenai dokumen yang dibocorkan FinCEN, yang mengaitkan beberapa bank di Malaysia termasuk Public Bank.

Menurut laporan itu yang merujuk kepada dokumen yang dinyatakan, sebanyak 23 transaksi berjumlah US$18.26 juta yang masuk atau dari bank di Malaysia antara 2010 dan 2016, telah ditandakan oleh bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat sebagai mencurigakan.

Menurut Public Bank, memantau dan melaporkan urus niaga yang mencurigakan adalah sebahagian daripada kewajipan di bawah rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT).

Bank itu menjelaskan, ia tertakluk kepada pengaturan ketat dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan mengenai pelaporan urus niaga yang mencurigakan dalam lingkungan persekitaran sistem teknologi maklumat dan kawalan maklumat yang terjamin.

“Kami mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi membolehkan sistem kami mengesan dan melaporkan urus niaga yang mencurigakan kepada pihak berkuasa dan menguntukkan sumber yang besar ke arah memperkukuh dan mengekalkan kawalan dalaman kami untuk tujuan yang sama,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )