
Rali umum sokong Palestin di Perancis
PARIS: Ribuan peserta berarak kelmarin di Paris dan beberapa bandar utama di Perancis untuk menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin dan menyatakan bantahan terhadap rejim Israel berikutan keganasan yang membunuh 260 orang, kebanyakannya rakyat Pa-lestin.
Tunjuk perasaan di Paris pada hujung minggu ini telah dihadkan kepada satu rali di Place de la Republique. Pada hujung minggu lepas, ribuan aktivis melanggar sekatan untuk menyertai tunjuk perasaan di ibu negara.
Kesatuan dagangan CGT menyatakan sehingga 4,000 orang telah menghadiri rali di Paris. Penunjuk perasaan yang berarak di ibu negara melaungkan slogan seperti ‘Pa-lestin akan terus hidup, Pa-lestin akan menang’, ‘Israel pembunuh, Macron bersubahat’, dan ‘Kami semua adalah rakyat Palestin’.
Bertrand Heilbronn, presiden Persatuan Solidariti Palestin Perancis, yang menganjurkan rali Paris dan tunjuk perasaan lain memberitahu AFP bahawa genjatan senjata tidak dapat menyelesaikan apa-apa.
“Perjuangan ini melibatkan semua mereka yang terikat dengan nilai-nilai keadilan, maruah dan undang-undang,” tambah beliau. “Malah sekiranya pengeboman telah berakhir, penakluknya masih ada di sana,” kata Wael, 28, ketika ditemui pada rali di Paris sambil me-nyandang bendera Palestin.
“Penduduk Sheikh Jarrah masih berdepan ugutan akan dihalau keluar dan Semenanjung Gaza telah disekat,” tambah beliau. Protes lain dilakukan di beberapa bandar di sekitar Perancis.
Pegawai wilayah menyatakan 1,100 orang telah berarak di bandar tenggara Lyon, sama seperti hujung minggu lepas. Di bandar utara Lille, pihak penganjur menyatakan kira-kira 1,000 orang telah menghadiri satu rali ketika pihak polis menyatakan jumlahnya cuma 650 orang.
Protes lain telah diadakan di bandar timur Strasbourg, termasuk Toulouse dan Montpellier di selatan. “Rakyat Palestin mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan memiliki sebuah negara,” kata Imad Deaibis di Strasbourg.
“Israel telah merampas hak kami dan rumah kami. “Saya seorang rakyat Pa-lestin namun saya tidak lagi mempunyai hak untuk pergi ke sana, keluarga saya telah kehilangan segalanya,” tambahnya lanjut.
Ribuan penduduk kehilangan rumah di wilayah miskin Gaza, di mana satu gencatan senjata pada Jumaat menamatkan serangan udara maut Israel di wilayah dikepung dan serangan roket ke arah Israel namun tidak lama selepas itu tentera rejim kembali menyerang penduduk Palestin di kompleks Masjidil Aqsa.
Bantuan kemanusiaan mulai memasuki wilayah Gaza ketika ribuan penduduk kembali ke rumah mereka yang musnah, manakala antarabangsa memfokus kepada pembinaan semula wilayah itu.
Keganasan 11 hari itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 248 rakyat Pa-lestin termasuk 66 kanak-kanak, manakala 12 kematian dilaporkan pihak rejim termasuk seorang kanak-kanak, kebanyakannya bagaimanapun merupakan anggota tentera.
— Agensi