KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Jenama beg tarpaulin upcycle dari Malaysia, remadesia mencatat detik bersejarah di Pavilion Bukit Jalil di sini har
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Jenama beg tarpaulin upcycle dari Malaysia, remadesia mencatat detik bersejarah di Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini, apabila “Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar” miliknya diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Penghasilannya menggunakan kain terpal industri yang diperoleh semula serta lebihan bahan industri pemasangan berskala besar itu, menunjukkan bahan yang terbuang boleh diberikan tujuan dan nilai baharu melalui reka bentuk serta hasil kerja tangan yang teliti.
Dalam satu kenyataan remadesia memaklumkan bahawa Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar yang diiktiraf secara rasmi oleh MBOR itu, dibina menggunakan kain terpal industri yang diperoleh semula dan lebihan bahan industri, dengan ukuran ketinggian 410 sentimeter (cm), panjang 220cm dan lebar 120cm.
“Lebih daripada sekadar pencapaian rekod, pemasangan berskala besar ini, diwujudkan sebagai satu cara visual yang menarik, bagi membantu orang ramai memahami konsep upcycling serta melihat potensi untuk memanjangkan jangka hayat bahan sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli ke acara yang diadakan bersempena dengan Malaysia Circular Economy & Sustainability Week itu dan melawat pameran berkaitan.
Selain pameran MBOR, remadesia turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif, yang direka untuk memperkenalkan konsep kelestarian dan upcycling kepada orang ramai dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami.
Pengasas remadesia Alfred Kong berkata pengiktirafan daripada MBOR, merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan remadesia.
“Namun, yang lebih penting, kami berharap pencapaian ini dapat menjadi titik permulaan untuk lebih ramai memahami konsep reka bentuk kitaran, penggunaan semula bahan dan amalan penggunaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata remadesia terus memberi nafas baharu kepada sisa industri dan lebihan kain terpal, dengan mentransformasikannya menjadi beg yang praktikal, di samping bekerjasama dengan tenaga kerja tempatan serta rakan komuniti untuk memanjangkan jangka hayat bahan sedia ada.
“Ini termasuk mewujudkan peluang kepada wanita B40, ibu tunggal, golongan Orang Asli dan komuniti yang kurang mendapat akses, untuk terlibat dalam sebahagian daripada proses pengeluaran, supaya impak upcycling bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi turut mencipta nilai sosial,” katanya.
Sementara itu, Pengasas remadesia Cindy Wong berkata pihaknya berharap beg remadesia secara beransur-ansur dapat menjadi satu cenderamata Malaysia yang bermakna.
— BERNAMA

