
Ringgit berbanding dolar AS: Apa yang perlu kita fahami
KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia menjejaki dolar AS berikutan minat global yang tinggi terhadap mata wang Amerika Syarikat (AS) itu meningkatkan permintaan dan nilainya pada tahap yang amat baik.
Kenaikan dolar AS yang mendadak menyebabkan ringgit merosot 5.3 peratus untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini kepada RM4.3987 berbanding dolar AS pada Jumaat daripada RM4.1763 pada 1 Jan, 2022 dan dijangka terus susut berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar faedah.
Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan ahli ekonomi, memaksa kerajaan mencari jalan untuk menstabilkan kadar pertukaran mata wang tempatan.
Apa yang kerajaan hadapi hari ini sama dengan apa yang dihadapi semasa Krisis Kewangan Asia (AFC) 1998 dan Krisis Kewangan Global (GFC) 2008, yang menyaksikan ringgit mengalami kejatuhan mendadak berbanding dolar AS.
Nilai ringgit, masing-masing berada pada RM3.80 dan RM3.46 berbanding dolar AS sebelum langkah-langkah diambil untuk menstabilkan mata wang tempatan.
Perbezaan yang ketara ialah harga minyak jatuh pada akhir 1998 dan 2008, apabila harga puratanya, masing-masing pada US$12.76 setong dan US$96.94 setong, berbanding kira-kira US$106.61 setong hari ini.
Oleh itu, mengapakah mata wang tempatan kita merosot berbanding dolar apabila harga minyak diniagakan lebih tinggi daripada sebelumnya?
Jawapannya ialah bukan sahaja ringgit menghadapi tekanan tetapi mata wang negara maju turut menghadapinya.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, terdapat pelbagai sebab yang mempengaruhi pergerakan mata wang terutamanya dari segi permintaan.
Beliau berkata ini sama ada faktor jangka pendek atau struktur seperti sesuatu yang lebih kekal.
Ahli ekonomi itu berkata faktor jangka pendek boleh dalam bentuk, antara lain, keputusan kadar faedah oleh bank pusat utama seperti Rizab Persekutuan AS (Fed) dan faktor lain seperti geopolitik seperti perang di Ukraine.
“Dalam tempoh tidak menentu ini, permintaan terhadap mata wang selamat iaitu dolar AS akan menjadi lebih tinggi berikutan mata wang itu dianggap stabil dan cair. Ini akan berlaku sepanjang masa,” katanya.
Selain ringgit, katanya dolar Singapura turut susut 3.42 peratus berbanding dolar AS, baht Thailand merosot 4.52 peratus, rupiah Indonesia berkurangan 2.39 peratus, dolar Taiwan susut 7.15 peratus dan yen Jepun merosot 10.7 peratus berbanding dolar AS untuk tempoh awal tahun kewangan hingga setakat ini.
Apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan impaknya?
Antara langkah yang diambil untuk mengurangkan AFC 1998 ialah tambatan ringgit berbanding dolar AS serta menutup perdagangan ringgit di luar negara dan perdagangan saham Malaysia di Singapura untuk menamatkan aktiviti spekulatif dalam mata wang dan dalam pasaran tempatan.
Langkah lain ialah mengawal aliran modal, terutamanya aliran keluar modal jangka pendek oleh warga asing dan rakyat tempatan.
Semasa GFC 2008, kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal dan monetari, menstabilkan sistem perbankan dan mengukuhkan prospek ekonomi untuk menstabilkan ringgit.
Sehubungan itu, sistem perbankan mempunyai modal yang mencukupi untuk menyelesaikan krisis dan agak sukar bagi pihak berkuasa Malaysia untuk meminjam daripada bank asing.
Malaysia turut mengambil langkah-langkah untuk menangani krisis dalam bentuk pakej rangsangan fiskal dan melonggarkan dasar monetari.
Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata langkah-langkah yang diambil pada tahun 1999 dan 2008 bukan langkah terbaik yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan kebimbangan yang semakin meningkat pada hari ini.
“Kita perlu memahami bahawa impak daripada pergerakan mata wang sentiasa dua hala. Ia boleh menjadi urusan yang mahal kepada pengimport berikutan mereka perlu membayar lebih tetapi pengeksport mendapat manfaat daripadanya kerana harga eksport menjadi amat berpatutan dari pandangan pembeli asing.
“Saya rasa kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dengan memastikan pertumbuhan akan kekal utuh dan memudahkan komuniti perniagaan berkembang maju serta lebih banyak pekerjaan dengan gaji tinggi dan berkualiti akan diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata dengan berbuat demikian, mata wang tempatan akan sejajar dengan keadaan ekonomi dan prospeknya.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata satu lagi aspek penting ialah subsidi untuk rakyat bagi mengurangkan kenaikan inflasi dan harga barangan keperluan asas.
“Kita akui terdapat kes salah guna subsidi tetapi pembaharuan perlu tidak diteruskan pada masa ini untuk mengelak keadaan menjadi lebih teruk.
“Apa yang kita perlukan ialah pelan hala tuju dan komunikasi terus dengan perniagaan untuk memastikan rakyat tidak perlu memikul beban ini di bahu mereka,” katanya.
Tempoh Sukar Hampir Berakhir
Walau apa pun, yakinlah bahawa apa yang dihadapi negara pada hari ini telah dihadapi sebelum ini dan pentadbiran akan mengambil langkah perlu untuk mengurangkan impaknya terhadap rakyat.
Antaranya ialah mengetatkan dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia seperti yang diumumkan pada Khamis dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 mulai 1 Mei 2022.
Melihat kepada pengumuman KDNK suku pertama 2022 pada Jumaat, yang mencatatkan lebih tinggi daripada jangkaan berikutan pertumbuhan permintaan domestik, iaitu penggunaan dan pelaburan, terdapat petunjuk bahawa ekonomi tempatan bertambah baik selepas pandemik.
Pembukaan semula ekonomi yang berterusan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi domestik berikutan isi rumah dan perniagaan bebas menjalankan urus niaga yang boleh meningkatkan KDNK.
Apabila ekonomi bertambah baik, lebih banyak pekerjaan diwujudkan, rantaian bekalan kembali normal, pulangan pelaburan serta langkah monetari dan fiskal diambil, Malaysia akan mendapat semula kedudukannya dan ringgit akan stabil.
– BERNAMA