Ringgit dibuka rendah

Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini, berehat seketika selepas bergerak rancak minggu lepas.

Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan ialah pada 4.1930/2000 berbanding dolar AS pada 4.1830/1900 semasa ditutup pada 6 petang Jumaat lepas.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp Stephen Innes berkata dengan data gaji AS yang lebih baik daripada dijangkakan serta ketidaktentuan keputusan perundingan perjanjian AS-China yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos ini, pasaran seharusnya bersedia melihat para peniaga memperlahankan sedikit kerancakan urus niaga ringgit.

“Bagaimanapun, sekiranya perundingan itu mengesahkan kembali komitmen China kepada perjanjian perdagangan, ringgit boleh meningkat minggu depan berikutan pengurangan premium risiko perang perdagangan,” kata beliau kepada Bernama.

AS dan China akan mengadakan perundingan peringkat tertinggi Sabtu ini bagi menilai pematuhan Beijing terhadap perjanjian perdagangan dua hala yang dimeterai awal tahun ini.

Selain itu, peniaga tempatan turut menantikan data keluaran dalam negara kasar suku kedua negara yang akan diumumkan Jumaat ini.

Peserta pasaran menjangkakan prestasi lemah untuk suku kedua disebabkan sekatan pergerakan COVID-19, tetapi percaya prestasi masih lagi bagus berbanding negara lain.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0543/0606 daripada 3.0499/0562 pada Jumaat dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.9646/9724 daripada 3.9589/9667.

Mata wang tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4765/4860 daripada 5.4755/4864 dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.9435/9522 daripada 4.9426/9517 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)