Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan aliran menaik untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh sentimen risiko yang positif, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1860/1910 daripada 4.1900/1960 ketika ditutup semalam.

Bercakap kepada Bernama, ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata dagangan menyebelahi ringgit kerana dolar AS terus lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadual berlangsung esok.

Bagaimanapun, para peniaga masih mengambil pendirian untuk bertahan, tidak bersedia untuk menguji paras 4.18 dan mengharapkan ringgit mengambil petunjuk daripada pergerakan meluas mata wang G-10 hari ini.

“Selain itu, harga minyak yang diniagakan pada paras tinggi dalam tempoh lima bulan seharusnya memberi kelebihan kepada unit tempatan,” katanya.

Harga minyak Brent kekal melepasi AS$45 setong walaupun turun 0.09 peratus kepada AS$45.31 setong.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0624/0672 daripada 3.0597/0650 semalam dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.9569/9627 daripada 3.9391/9458 sebelumnya.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4966/5036 daripada 5.4952/5035 dan lemah berbanding euro kepada 4.9763/9835 daripada 4.9672/9756.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )