KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Jumaat, didorong sentimen domestik yang bertambah ba
KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Jumaat, didorong sentimen domestik yang bertambah baik ketika pasaran menantikan pengumuman anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada tengah hari ini.
Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 3.9505/9565 berbanding dolar AS daripada 3.9520/9560 ketika ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka kekal sekitar paras RM3.95 hari ini.
“Tumpuan adalah pada anggaran awal KDNK bagi suku pertama 2026, dengan unjuran median pada 5.5 peratus (Suku Keempat 2025: 6.3 peratus). Data ini berpotensi menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat global, beliau berkata optimisme terhadap rundingan pusingan kedua antara Amerika Syarikat dan Iran serta prospek gencatan senjata yang berterusan mampu meningkatkan selera risiko pelabur, sekali gus menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding pound kepada 5.3431/3512 daripada 5.3506/3560 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6537/6608 daripada 4.6551/6598, serta naik berbanding yen Jepun kepada 2.4812/4851 daripada 2.4848/4874 sebelumnya.
Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1026/1078 daripada 3.1069/1103 pada Khamis, naik berbanding baht Thailand kepada 12.3222/3502 daripada 12.3473/3664, serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.60 daripada 6.59/6.60 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit didagangkan mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 230.5/230.9.
–BERNAMA

