
Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, didorong oleh sikap berhati-hati pelabur menjelang hasil rundingan perdagangan antara China dan AS.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan naik sedikit kepada 4.2275/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2290/2345 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indeks dolar AS (DXY) susut 0.25 peratus kepada 98.939 mata selepas rundingan perdagangan antara AS dan China berjalan seperti dirancang, berdasarkan petunjuk positif daripada pegawai Amerika mengenai perkembangan rundingan itu.
Beliau berkata, data dari China menunjukkan perdagangan negara itu dengan Amerika mencatatkan penyusutan ketara, apabila eksport dan import masing-masing merosot 34.5 peratus dan 18.1 peratus pada Mei.
“Angka ini menandakan penguncupan buat bulan kedua berturut-turut, sekali gus memberi isyarat bahawa kejutan tarif memberi kesan besar terhadap perdagangan global.
“Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (CPI) China turut mencatatkan bacaan lemah untuk empat bulan berturut-turut, dengan angka terkini menunjukkan penurunan 0.1 peratus tahun ke tahun pada April, mencerminkan prospek ekonomi yang mencabar disebabkan permintaan domestik yang lemah,” katanya kepada Bernama.
Mengulas pergerakan ringgit, Mohd Afzanizam berkata pasangan USD/MYR kekal dalam jajaran kecil antara 4.231 dan 4.2458 semalam, mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pedagang dan pelabur, dengan trend yang sama dijangka berterusan hari ini.
Dalam dagangan awal hari ini, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9242/9310 daripada 2.9344/2.9384 semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.7300/7428 daripada 5.7392/7466. Ringgit juga mengukuh berbanding euro kepada 4.8303/8412 daripada 4.8316/8379 sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi ringgit berbanding mata wang serantau adalah bercampur-campur.
Ringgit lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.2876/2952 daripada 3.2908/2953, namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.9463/9846 daripada 12.9414/9642.
Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/260.1 daripada 259.5/260.0, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.57/7.59.
–BERNAMA