KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong kelemahan mata wang negara maju itu serta penuru
KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong kelemahan mata wang negara maju itu serta penurunan hasil bon Perbendaharaan AS.
Pada 8.04 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0380/0445 berbanding dolar AS daripada 4.0405/0440 ketika ditutup pada Isnin.
Pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan Maulidur Rasul.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata hasil bon Perbendaharaan AS jangka panjang kekal menjadi tumpuan pasaran, dengan hasil sekuriti 30 tahun turun enam mata asas kepada 5.17 peratus.
Beliau berkata terdapat laporan bahawa Jabatan Perbendaharaan AS dijangka menggunakan Akaun Am Perbendaharaan, iaitu wang tunai yang disimpan di Rizab Persekutuan (Fed), untuk membiayai program pembelian semula bon.
“Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.10 peratus kepada 98.905 mata.
“Sehubungan itu, ringgit dijangka menerima sokongan yang baik berikutan pihak berkuasa AS tidak memihak kepada persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan masih wujud mengenai langkah dasar Fed seterusnya.
Justeru, pasaran dijangka meneliti ucapan Pengerusi Fed, Kevin Warsh, pada Simposium Jackson Hole minggu ini bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju dasar monetari AS.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama, namun meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5360/5402 daripada 2.5380/5402 ketika ditutup pada Isnin.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.5099/5187 daripada 5.5080/5128 dan melemah berbanding euro kepada 4.7140/7215 daripada 4.7132/7173 sebelumnya.
Berbanding mata wang serantau, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.2 daripada 227.9/228.3 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.55 daripada 6.55/6.56.
Ringgit turut naik berbanding baht Thailand kepada 12.3486/3753 daripada 12.3589/3742 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1810/3186 daripada 3.1805/1835 pada Isnin.
–BERNAMA

