Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Isnin, menjejaki penurunan Wall Street pada malam sebelumnya susulan kenaikan harga minyak ment

Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
Bursa dibuka bercampur – campur Pada pagi ini
Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Isnin, menjejaki penurunan Wall Street pada malam sebelumnya susulan kenaikan harga minyak mentah.

Pada 9.20 pagi, FBM KLCI susut 9.77 mata atau 0.57 peratus kepada 1,689.08 berbanding 1,698.85 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.44 mata lebih rendah kepada 1,696.41.

Sentimen pasaran keseluruhan negatif dengan 247 kaunter menurun berbanding 193 kaunter meningkat, manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,916 tidak diniagakan dan 21 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 206.83 juta saham bernilai RM126.94 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong apabila harapan konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berakhir dalam tempoh terdekat semakin pudar.

“Pasaran Asia mengalami penurunan yang ketara memandangkan ketegangan Timur Tengah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mereda, mendorong harga minyak mentah lebih tinggi dan menjadikan peniaga sebagai penjual.

“Untuk hari ini, dagangan di bursa tempatan dijangka perlahan memandangkan harga minyak mentah yang kekal tinggi, dengan indeks berkemungkinan berlegar antara 1,695 dan 1,705,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sektor perladangan kelapa sawit berpotensi menarik perhatian pelabur dengan harga minyak sawit mentah kini berada sekitar RM4,500 satu tan.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI mencatatkan pergerakan tertinggi sekitar 2.5 peratus sepanjang tempoh dua minggu ketegangan antara AS dan Iran, menunjukkan pasaran domestik diselaraskan secara sederhana berbanding perubahan mendadak dalam penunjuk perkapalan dan komoditi.

“Bagi Malaysia, reaksi sederhana dalam FBM KLCI menunjukkan pasaran domestik lebih dipengaruhi sentimen risiko serantau dan kecairan dolar global berbanding pendedahan langsung terhadap kejutan awal dalam sektor tenaga.

“Pendedahan Malaysia terhadap komoditi, khususnya dalam sektor tenaga, mungkin memberikan sedikit perlindungan, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko penurunan sekiranya harga minyak terus tinggi,” katanya.

Beliau berkata di peringkat global, reaksi pasaran terbesar kini tertumpu kepada sektor perkapalan, tenaga dan pasaran volatiliti, menunjukkan bagaimana konflik politik antarabangsa pada peringkat awal menular melalui saluran logistik dan komoditi.

“Freight kapal tangki minyak meningkat 97.3 peratus, diikuti kenaikan mendadak dalam volatiliti risiko global dan harga tenaga. Corak ini menunjukkan kejutan berpunca daripada risiko bekalan tenaga dan logistik sebelum secara beransur-ansur menjejaskan pasaran kewangan melalui peningkatan volatiliti dan keengganan mengambil risiko,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM11.20, Public Bank dan CIMB masing-masing turun empat sen kepada RM4.75 dan RM7.75, Tenaga Nasional meningkat 12 sen kepada RM14.32, manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM8.86.

Bagi saham paling aktif, VS Industry meningkat satu sen kepada 30 sen, Top Glove susut satu sen kepada 59.5 sen, manakala TWL, Pharmaniaga dan AirAsia X masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, 24.5 sen dan RM1.16.

Antara kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries yang meningkat 44 sen kepada RM30.06, diikuti Malayan Cement dan United Plantation yang masing-masing naik 34 sen kepada RM6.49 dan RM32.90, Gas Malaysia meningkat 14 sen kepada RM5.42 dan Pineapple Resources menokok 11 sen kepada 84 sen.

Bagi kaunter paling rugi, Tradeplus Shariah Gold Tracker susut 14 sen kepada RM6.05, RHB Bank turun 12 sen kepada RM8.17, Ajinomoto dan PPB Group masing-masing berkurang 10 sen kepada RM12.50 dan RM11.30, manakala Kein Hing International merosot sembilan sen kepada RM1.16.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 53.32 mata kepada 12,196.10, Indeks FBM Emas merosot 48.51 mata kepada 12,357.32 dan Indeks FBM ACE turun 2.13 mata kepada 4,373.67.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 meningkat 3.17 mata kepada 17,035.11 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.46 mata kepada 12,145.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 235.21 mata kepada 20,183.05, Indeks Perladangan meningkat 15.44 mata kepada 8,459.63, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit 0.16 mata kepada 175.11 dan Indeks Tenaga susut 0.35 mata kepada 796.75.