KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dan terus menunjukkan daya tahan walaupun pasaran saham teknologi global mengalami penyusutan ket
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dan terus menunjukkan daya tahan walaupun pasaran saham teknologi global mengalami penyusutan ketara susulan prestasi bercampur-campur di Wall Street.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.68 mata kepada 1,717.16 mata berbanding 1,712.48 mata ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka naik 1.91 mata kepada 1,714.39 mata.
Sentimen pasaran secara keseluruhannya kekal positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 160 berbanding 135, manakala 267 kaunter tidak berubah, 2,205 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 105.88 juta saham bernilai RM52.91 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini, sentimen keseluruhan pasaran dijangka kembali pulih, namun potensi kenaikan dijangka terhad berikutan kelemahan saham teknologi global.
“Kelemahan sektor semikonduktor mungkin mengehadkan kenaikan indeks tetapi prestasi pendapatan yang meningkat ketara bagi saham-saham tertentu masih menawarkan peluang dagangan yang jelas,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, peralihan pelaburan antara sektor semakin ketara selepas tawaran awam permulaan pengeluar cip memori DRAM terbesar China, ChangXin Memory Technologies, mencetuskan aktiviti jualan besar-besaran dalam saham pengeluar cip memori seperti Micron dan SK Hynix.
“Pelabur bimbang pengembangan kapasiti pengeluaran China pada masa depan boleh memberi tekanan kepada harga cip memori tradisional,” katanya.
Menurut Malacca Securities, tumpuan pasaran kini beralih kepada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) bagi suku kedua, data tuntutan pengangguran mingguan serta keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lapan sen kepada RM10.98, CIMB menambah enam sen kepada RM7.82, manakala Public Bank dan IHH Healthcare kekal masing-masing pada RM5.19 dan RM8.34.
Tenaga Nasional pula susut empat sen kepada RM14.62.
Bagi saham aktif, Tanco dan V.S Industry masing-masing meningkat satu sen kepada 27 sen dan 23 sen, Xin Synergy naik setengah sen kepada 21.5 sen, manakala Velesto Energy dan Land & General kekal masing-masing pada 24.5 sen dan 16.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle menokok 94 sen kepada RM94.60, APM Automotive melonjak 10 sen kepada RM2.95, Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM4.69, CelcomDigi menambah enam sen kepada RM7.82 dan Pentamaster meningkat lima sen kepada RM5.01.
Hong Leong Bank mendahului kaunter rugi apabila susut 20 sen kepada RM22.10, diikuti Sam Engineering & Equipment yang merosot 10 sen kepada RM4.40, Critical Holdings turun tujuh sen kepada RM1.73, Kelington berkurangan enam sen kepada RM7.84 dan Gopeng susut 5.5 sen kepada 73.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 26.73 mata kepada 12,668.45, Indeks FBMT 100 naik 26.36 mata kepada 12,502.75 dan Indeks FBM Mid 70 menambah 4.75 mata kepada 17,906.61.
Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 20.25 mata kepada 12,477.78 manakala Indeks FBM ACE meningkat 6.53 mata kepada 4,892.82.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 53.70 mata kepada 20,308.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.32 mata kepada 185.79 dan Indeks Perladangan menambah 14.65 mata kepada 9,246.24.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga susut 0.36 mata kepada 763.06.
SUMBER;
–BERNAMA

