KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 yang lebih
KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 yang lebih kukuh daripada jangkaan apabila berkembang 5.4 peratus, mengatasi anggaran awal 5.3 peratus.
Pada Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pertumbuhan KDNK suku pertama 2026 yang lebih baik itu didorong oleh permintaan domestik, aktiviti pelaburan serta eksport yang kekal kukuh.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.37 mata kepada 1,741.59 berbanding 1,740.22 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.72 mata lebih tinggi kepada 1,741.94.
Bagaimanapun, dalam pasaran secara keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 380 berbanding 184, manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,850 tidak diniagakan dan 32 kaunter lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 308.91 juta saham bernilai RM177.18 juta.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata prestasi KDNK suku pertama 2026 yang lebih kukuh daripada jangkaan terus mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi domestik.
Beliau berkata keadaan itu disokong oleh penggunaan swasta yang teguh, pasaran buruh yang stabil serta momentum perbelanjaan isi rumah yang berterusan.
“Angka pertumbuhan terkini menunjukkan permintaan domestik kekal sebagai tonggak penstabil yang kritikal untuk ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang berterusan.
“Bagaimanapun, angka KDNK yang lebih kukuh ini tidak menggambarkan Malaysia terlindung sepenuhnya daripada risiko global yang semakin meningkat, terutamanya ketegangan geopolitik di negara-negara ekonomi utama dan kenaikan semula harga minyak mentah global kebelakangan ini.
“Kedua-dua faktor ini berpotensi mempengaruhi jangkaan inflasi, dinamik fiskal dan sentimen perdagangan luar,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,735 hingga 1,750 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM11.12, Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM14.64 dan IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM9.07.
Bagaimanapun, Public Bank dan CIMB masing-masing susut tiga sen kepada RM4.88 dan RM7.85.
Bagi saham paling aktif, GIIB naik satu sen kepada 30 sen dan Top Glove meningkat 2.5 sen kepada 80.5 sen.
Sebaliknya, AirAsia X, Gold Li dan Zetrix AI masing-masing turun 2.0 sen kepada RM1.13, 11 sen dan 82.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle melonjak RM1.20 kepada RM101.40, Tong Herr Resources meningkat 23 sen kepada RM1.85 dan Petronas Dagangan menokok 22 sen kepada RM20.52.
Petronas Chemicals dan UMS Integration pula masing-masing menambah 21 sen kepada RM5.80 dan RM8.84.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Malaysia Pacific Industries susut 90 sen kepada RM43.20, Hong Leong Financial Group merosot 32 sen kepada RM18.52 dan Pentamaster turun 17 sen kepada RM4.23.
Kelington dan Unisem pula masing-masing rendah 16 sen kepada RM6.80 dan RM3.84.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 18.79 mata kepada 12,876.08, Indeks FBM Top 100 merosot 16.70 mata kepada 12,716.61 dan Indeks FBM ACE turun 36.09 mata kepada 4,706.65.
Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.01 mata kepada 12,825.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 52.25 mata kepada 20,202.06, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.61 mata kepada 200.56.
Indeks Tenaga menambah 2.79 mata kepada 811.68 dan Indeks Perladangan melonjak 29.19 mata kepada 8,614.62.
Sumber;
–BERNAMA

