KUALA LUMPUR,. Bank Rakyat memperkenalkan pakej pembiayaan eksklusif bagi pemilikan kenderaan hijau termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaa
KUALA LUMPUR,. Bank Rakyat memperkenalkan pakej pembiayaan eksklusif bagi pemilikan kenderaan hijau termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan hibrid elektrik (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) serta kenderaan hibrid lain termasuk kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) baharu.
Dalam satu kenyataan, Bank Rakyat memaklumkan pakej pembiayaan tersebut menawarkan kadar keuntungan tetap serendah 1.88 peratus setahun, yang disifatkan antara paling kompetitif dan terendah di pasaran ketika ini.
Menurut bank itu, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam menyokong agenda kelestarian negara, memperluas akses kepada pengangkutan mampan serta membantu masyarakat menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuk ketidaktentuan bekalan tenaga.
Katanya, pakej pembiayaan itu direka khusus bagi memudahkan peralihan pengguna di Malaysia kepada penggunaan kenderaan mesra alam dengan komitmen kewangan yang lebih ringan.
“Melalui tawaran ini, pelanggan boleh menikmati kadar keuntungan tetap serendah 1.88 peratus setahun bagi pembelian kenderaan berteknologi hijau terpilih, sekali gus menjadikannya antara tawaran paling kompetitif dalam sektor perbankan tempatan,” menurut kenyataan itu.
Kemudahan pembiayaan tersebut dibuka kepada semua warganegara Malaysia termasuk kakitangan sektor awam, sektor swasta serta individu yang bekerja sendiri.
Antara ciri utama pakej berkenaan termasuk kadar keuntungan lebih rendah bagi mengurangkan komitmen bayaran bulanan pelanggan, margin pembiayaan sehingga 100 peratus bagi pemohon yang layak, tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun serta proses kelulusan yang lebih cepat, mudah dan efisien.
Selain itu, pelanggan turut menerima manfaat tambahan berupa potongan istimewa bagi produk takaful kenderaan terpilih.
Bank Rakyat berkata, inisiatif tersebut mencerminkan usaha institusi kewangan itu dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan yang relevan, progresif dan memberi nilai tambah kepada masyarakat, selain menjadikan pemilikan kenderaan berteknologi hijau lebih mampu milik kepada pelbagai lapisan pengguna.
Menurutnya, permintaan terhadap kenderaan hijau semakin meningkat selaras dengan penjimatan kos jangka panjang, justeru penawaran kadar lebih rendah itu diharap dapat mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau di negara ini.
Tambah bank itu lagi, inisiatif berkenaan juga sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperluaskan portfolio pembiayaan hijau dan menyokong transformasi ke arah perbankan mampan serta ekonomi rendah karbon.
Dalam masa sama, Bank Rakyat sebelum ini turut menjadi antara institusi kewangan terawal menyediakan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) di premisnya, termasuk pemasangan 20 stesen pengecas EV di Menara Berkembar Bank Rakyat di Jalan Rakyat, Kuala Lumpur, melalui kerjasama dengan Cenergi SEA Berhad dan Recharge Xolutions.
Bagi pelanggan yang berminat, maklumat lanjut boleh diperoleh di mana-mana Pusat Pembiayaan Auto (AFC) atau cawangan Bank Rakyat berhampiran, selain melalui platform digital dan laman web rasmi bank berkenaan.
Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian menerusi platform BRICK yang membolehkan pengguna mengimbas kod QR atau melayari portal rasmi untuk mendapatkan akses permohonan pembiayaan tersebut.

