Ringgit dibuka tinggi pada pagi

Ringgit dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit tinggi pada Jumaat berbanding dolar AS berikutan pelabur mengenepikan data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.6405/6455 berbanding dolar AS daripada 4.6425/6455 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP keseluruhan dan IHP teras Amerika Syarikat (AS) tinggi sedikit pada Disember, masing-masing sebanyak 3.4 peratus dan 3.9 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 3.2 peratus dan 3.8 peratus.

Sementara itu, pasaran bon terus mencatatkan penurunan hasil, menunjukkan peserta pasaran menjangka penurunan kadar.

Hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing turun sebanyak 6.0 mata asas dan 11 mata asas kepada 4.25 peratus dan 3.97 peratus.

Begitu juga, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.04 peratus kepada 102.325 mata.

“IHP keseluruhan yang lebih tinggi sebahagian besarnya disokong oleh sub-indeks pengangkutan yang meningkat berikutan kenaikan berterusan insurans kenderaan bermotor, yang naik 20.3 peratus pada Disember susulan premium insurans yang meningkat disebabkan kos buruh yang tinggi, kekurangan mekanik dan kenaikan harga alat ganti kereta.

“Oleh itu, inflasi yang tinggi bukan disebabkan oleh permintaan dan trend disinflasi masih kukuh. Ini boleh menjadi alasan pasaran tidak yakin bahawa Fed akan menukar pertimbangan mereka dan cadangan penurunan kadar masih kekal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangka ringgit akan meningkat berbanding dolar AS hari ini.

“Ini mengenai masa, sama ada penurunan kadar dilaksanakan pada Mac atau kemudiannya,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding euro kepada 5.0929/0984 daripada 5.0896/0929 semalam, merosot berbanding pound kepada 5.9250/9314 daripada 5.9141/9179 pada Khamis dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.1944/1981 daripada 3.1896/1919 sebelum ini.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4878/4918 daripada 3.4901/4926 pada Khamis dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.29 daripada 8.29/8.30 sebelum ini.

Mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 298.4/298.8 daripada 298.5/298.8 pada Khamis dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2287/2505 daripada 13.2408/2551 sebelum ini.

–Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)