Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS

Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka dengan meneruskan aliran penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan mengenai COVID-19 yang telah mengekang minat pedagang untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3800/3850 berbanding dolar AS daripada 4.3737/3844 semasa ditutup pada Rabu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jika langkah itu gagal menghalang penyebaran COVID-19 di negara ini.

Perintah selama dua minggu itu bermula semalam dan berakhir pada 31 Mac 2020.

Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan secara langsung malam semalam berkata: “Kerajaan berharap selepas tempoh dua minggu ini, mereka yang mempunyai simptom dapat diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas COVID-19.”

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 790 kes berkaitan virus itu.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0327 daripada 3.0446/0664 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0246/0303 daripada 4.0759/0898 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan naik berbanding pound kepada 5.0633/0708 daripada 5.2514/2570 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7751/7823 daripada 4.7938/8081.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )