RM1 bilion pulih, tambah pendapatan peneroka Felda

RM1 bilion pulih, tambah pendapatan peneroka Felda

TANAH MERAH: Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan dalam usaha memulihkan Felda dan menambah pendapatan peneroka di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha pemulihan Felda melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) adalah antara cadangan dalam Kertas Putih Felda seperti yang dibentangkan di Parlimen pada 2019.

“Kertas Putih ini antara lain bagi merangka beberapa strategi memulihkan Felda kerana Felda berdepan masalah.

“Salah satu strategi ialah menambah pendapatan peneroka. Kertas kerja ini juga telah memperincikan beberapa tindakan seperti Program Pembangunan Peneroka atau PPP yang kerajaan menyatakan sejumlah RM1 bilion akan diagihkan kepada semua peneroka di seluruh negara,” katanya.

Jelas Mustapa, peruntukan RM1 bilion itu melibatkan projek dalam sektor pertanian, penternakan dan akuakultur.

Beliau berkata kerajaan akan mula mengagihkan geran peruntukan pada 2020 membabitkan RM174 juta yang diluluskan kepada semua peneroka di seluruh negara.

Ia melibatkan RM108 juta untuk ternakan, RM51 juta untuk pertanian dan RM10 juta lagi untuk sektor akuakultur.

Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memanfaatkan 55,000 peneroka Felda di 317 tanah rancangan di seluruh negara.

Program ini melibatkan penyertaan peneroka sama ada melalui penglibatan plasma (individu) atau melalui koperasi.

Setakat ini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 Projek PPP Felda di seluruh negara.

Mustapa berkata demikian selepas meninjau projek ternakan arnab terbesar di Felda Kemahang, salah satu projek yang dilaksanakan melalui kaedah koperasi di Felda Kemahang Satu petang semalam.

Kerajaan meluluskan geran RM456,000 untuk projek ternakan arnab yang melibatkan 455 peneroka dari wilayah Gua Musang.

Projek ternakan arnab itu bermula pada 1 Jun 2021 dengan hasil jualan dikongsi bersama peneroka terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menjalin kerjasama dengan Mydin Wholesales untuk memasarkan produk peneroka Felda.

Jelasnya, selain itu, penguasaan Felda ke atas FGV dapat memantapkan lagi Program Pembangunan Peneroka Felda.

Selain itu, ia juga dapat menterjemahkan hasrat Felda untuk menjadi hab pengeluaran makanan negara.

-Muhafandi Muhamad

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )