
RM186 juta untuk pikat Aubameyang
LONDON,. Masa depan Pierre-Emerick Aubameyang di Arsenal kembali tidak menentu dan PSG menyasarkan potongan harga bagi mendapatkan penyerang Liga Perdana itu.
PSG sedang memikirkan tawaran berjumlah £35 juta pound (RM186 juta) buat Aubameyang ketika kontraknya menghampiri 12 bulan terakhir di Emirates yang boleh memaksa kelab utara London itu menjualnya.
Minat untuk mendapatkan pemain antarabangsa Gabon itu semakin meningkat dengan Barcelona dan Inter Milan sudah lama mengaguminya.
Bagaimanapun Le10Sport mendakwa juara Ligue 1 itu akan memulakan langkah pertama.
Edinson Cavani dijangka akan meningggalkan kelab dari ibu kota Perancis itu musim panas ini yang bermakna kelab itu akan kekurangan pilihan di bahagian serangan.
Mauro Icardi juga menghampiri penghujung tempoh pinjaman dari Inter Milan menyebabkan PSG hampir pasti perlu mencari penyerang lain dalam pasaran.
Kekuatan kewangan mereka akan membantu mendapatkan Aubameyang.
Pemain berusia 31 tahun itu adalah sumber utama Arsenal bagi mendapatkan gol sejak menyertai kelab berkenaan pada Januari 2018 dari Borussia Dortmund.
Dia meledak 61 gol dalam 97 penampilan menyebabkan Gunners tidak mahu kontrak pemain itu tamat begitu sahaja apatah lagi selepas melihat pemergian Aaron Ramsey secara percuma sebelum ini.
Dan itu boleh memberi kelebihan buat PSG yang dijangka menawarkan harga lebih rendah daripada apa dinilai Arsenal. – Agensi