
Samsung Galaxy S25 Dilancarkan dengan Pembaharuan Teknologi AI yang Lebih Canggih
KUALA LUMPUR: Samsung Malaysia telah melancarkan siri Galaxy S25, yang terdiri daripada model Galaxy S25 Ultra, Galaxy S25+, dan Galaxy S25. Dikenali dengan teknologi True AI Companion, siri ini membawa revolusi baru dalam pengalaman penggunaan telefon pintar, menawarkan interaksi yang lebih pintar dan berkuasa.
Dengan gabungan AI multimodal dan sistem operasi One UI 7, siri Galaxy S25 memberikan pendekatan yang lebih mendalam dalam interaksi digital, menjadikannya telefon pintar yang lebih responsif dan intuitif untuk memenuhi keperluan pengguna.
Menurut Ketua Pemasaran Produk Perniagaan MX Samsung Malaysia Electronics, Luke Au, teknologi baharu ini bertujuan untuk memperbaiki cara pengguna berhubung dengan peranti mereka.
“Tahun lepas, kami mempelopori Galaxy AI dengan memperkenalkan ciri-ciri AI yang menyeluruh. Kini, Galaxy S25 membawanya ke tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan True AI Companion yang mampu mengendalikan pelbagai jenis data seperti teks, audio, imej, dan video,” jelasnya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Selain itu, beberapa ciri baru yang menarik turut diperkenalkan, antaranya Now Brief, yang tidak hanya mempelajari rutin harian pengguna tetapi turut memberi cadangan untuk meningkatkan produktiviti. Ciri-ciri lain termasuk Call Transcript, Writing Assist, serta sistem keselamatan Knox Vault bagi melindungi data pengguna daripada ancaman.
Siri Galaxy S25 juga dilengkapi pemproses Snapdragon® 8 Elite for Galaxy, yang meningkatkan prestasi telefon sehingga 40% berbanding model sebelumnya, memberikan pengalaman AI yang lebih lancar dan pantas.
Bagi mereka yang membuat pra-tempahan, Samsung menawarkan pelbagai ganjaran menarik. Pengguna yang mendaftar untuk Samsung Reservation Plus dapat menebus e-baucar bernilai sehingga RM600, serta peningkatan storan sehingga RM600. Mereka yang membuat pembayaran menggunakan kad CIMB pula layak menikmati diskaun RM400, menjadikan jumlah keseluruhan manfaat sebanyak RM1,600.
Siri Galaxy S25 boleh didapati dalam pilihan warna Titanium Silverblue, Titanium Gray, Titanium Whitesilver, dan Titanium Black, serta warna eksklusif untuk pembelian dalam talian.