
Sanusi ditahan polis
PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan polis di satu lokasi di ibu negara awal pagi ini.
Difahamkan, Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan di Kuala Lumpur dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pegawai Ahli Dewan Undangan Jeneri itu, Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat turun dalam laman Facebooknya pagi ini.
Menurut kronologi ditunjukkan individu tersebut, pada pukul 2.30 pagi dipercayai lebih kurang 20 anggota polis berada di luar pintu bilik penginapan Muhammad Sanusi.
“YAB MB dibawa keluar dari bilik penginapan ke bawah. YAB diarah menaiki sebuah MPV menuju ke Balai Polis IPD Gombak,” dakwanya.
— Utusan